Seorang wanita mengeringkan bayinya yang menghidap penyakit demam berdarah yang teruk di Hospital Kavumu, di utara Bukavu di timur Republik Demokratik Congo, 24 Ogos 2024. Wilayah Kivu Selatan telah merekodkan lebih 5,000 kes cacar monyet sejak awal tahun. Foto AFP

LONDON – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melancarkan pelan persediaan dan tindak balas strategik global untuk menghentikan wabak penularan cacar monyet (mpox) dari manusia ke manusia dengan menyelaraskan usaha antarabangsa, serantau dan nasional.

Langkah itu dibuat selepas pengisytiharan kecemasan kesihatan awam oleh Setiausaha Agung WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada 14 Ogos, kata agensi PBB dalam satu kenyataan.

Pelan melibatkan dana sejumlah AS$135 juta itu selama enam bulan sehingga Februari 2025 dengan menyediakan pembiayaan yang diperlukan untuk tindak balas oleh WHO, negara anggota, rakan kongsi termasuk Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Afrika CDC), komuniti dan penyelidik.

“Usaha vaksinasi strategik akan memberi tumpuan kepada individu yang berisiko tinggi, termasuk kes membabitkan hubungan rapat kes baru-baru ini dan pekerja penjagaan kesihatan, bagi membendung rantaian penularan,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, di peringkat global, penekanan akan diberikan kepada kepimpinan strategik, panduan berasaskan bukti yang tepat pada masanya, dan akses kepada tindakan balas perubatan untuk kumpulan paling berisiko di negara yang terjejas.

“Wabak mpox di Republik Demokratik Congo dan negara jiran boleh dikawal, dan boleh dihentikan,” kata Tedros.

Sementara itu, ibu pejabat WHO dan pejabat serantau telah menubuhkan pasukan sokongan pengurusan insiden untuk mengetuai aktiviti persediaan, kesediaan dan tindak balas, serta meningkatkan jumlah kakitangan dengan ketara di negara yang terjejas.

Varian mpox terkini dipercayai lebih cepat menular dan boleh mematikan berbanding varian sebelumnya, termasuk strain Clade 2 yang bertanggungjawab terhadap wabak global yang bermula pada 2022.

Tedros sebelum ini berkata, lebih daripada 100,000 kes pox telah disahkan kepada WHO sejak wabak global bermula pada 2022, mencatatkan peningkatan yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam kes di Afrika.

Mpox ialah penyakit virus yang boleh merebak melalui hubungan rapat dan bahan tercemar seperti cadar, pakaian dan jarum, menurut WHO. – Agensi