Pihak berkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) menutup laluan di kawasan lubang mendapan baru yang telah dikesan awal pagi tadi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 28 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini.

Itu saranan yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof susulan tular pelbagai dakwaan berkaitan kejadian yang melibatkan seorang mangsa wanita warga India.

“Saya minta semua pihak jangan membuat spekulasi, kita tahulah setiap kali apa-apa saja berlaku, ramailah ‘pakar’ akan keluar.

“Disebabkan ia (spekulasi) tidak membantu apa-apa, jadi biarlah pihak yang terlibat menjalankan siasatan.

“Tumpuan kini adalah untuk mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dan kita perlu menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

“Seterusnya, barulah kita fokuskan untuk lakukan audit integriti bagi melihat apa dan di mana puncanya,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhilah Yusof ditemui dalam sidang media di tanah jerlus di Masjid India.

Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi kejadian bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa sekitar jam 4 petang tadi di sini.

Mengulas lanjut berhubung keselamatan di sekitar Jalan Masjid India, Fadillah memaklumkan ia masih selamat kepada orang ramai.

Bagaimanapun, beliau meminta semua pihak agak terutama orang awam agar mengikut arahan pihak bertugas atas faktor keselamatan.

“Untuk sekarang, kawasan ini selamat. Tempat-tempat yang dilarang jangan masuk dulu.

“Patuhilah semua arahan daripada pihak berwajib khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” ujarnya. – MalaysiaGazette