KUALA LUMPUR – Masuk melalui bahagian bawah Menara Dato’ Onn ketika menghadiri mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan menutup bunyi siren kenderaan polis antara tindakan yang dilakukan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menjaga hati Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Ismail Sabri, tindakannya yang tidak pernah masuk melalui pintu utama ibu pejabat UMNO di aras 4 ketika menjadi menteri kanan dan perdana menteri juga semata-mata kerana tidak mahu Presiden UMNO terasa hati.
“Saya tidak ada masalah dengan UMNO. Saya hormat Datuk Seri Ahmad Zahid sebagai Presiden, suka atau tidak dia adalah presiden parti dan saya nombor tiga mesti saya hormat dia.
“Waktu jadi menteri pertahanan, timbalan perdana menteri dan perdana menteri, saya ada polis pengiring berpuluh orang, kerana nak jaga hati dia orang, bila mesyuarat MT dan sebagainya saya tak pernah minta diturunkan di level 4.
“Sebab kalau turunkan di aras 4 orang akan tengok, presiden dengar bunyi siren dan sebagainya saya takut dia lagi tersentuh dan terasa hati,” kata Ismail Sabri.
Naib Presiden UMNO itu berkata demikian dalam mengulas naratif kluster ‘Putrajaya’ dan ‘PWTC’ yang direka semata-mata untuk memecahkan hubungan dalaman UMNO.
Kluster Putrajaya merujuk kepada Ismail Sabri dan pemimpin lain yang mengikut kepimpinan beliau manakala kluster PWTC merujuk kepada Ahmad Zahid dan pemimpin yang mengikut Presiden UMNO itu.
Ismail Sabri dalam podcast Keluar Sekejap yang dihoskan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Sufian Hamdan berkata, demi menjaga hubungan tidak pernah meminta Ahmad Zahid bertemu di pejabatnya di Perdana Putra.
“Kalau nak jumpa dia, masa saya jadi PM saya boleh sahaja kata, Tok boleh datang pejabat. Tak, saya pergi Yayasan Akal Budi di Country Height. Masuk sahaja off semua siren polis.
“Polis yang ramai-ramai duduk jauh di pagar. Hanya satu kereta saya masuk ke dalam sebab nak jaga hati presiden,” katanya.
Dalam perkongsian itu Ismail Sabri turut meluahkan rasa kecewa kerana tidak mendapat sokongan parti sepenuhnya semasa jadi perdana menteri walaupun dia telah melakukan yang terbaik sebagai ahli parti.
“Sudah tentu saya kecewa. Parti lain sokong saya, yang tak sokong parti saya sendiri. Saya sokong parti. Waktu saya jadi PM malah sayap Pemuda, Wanita saya sokong.
“Setiap keputusan parti saya ikut. Malah saya terbang pulang dari Washington kerana ada Perhimpunan Agung UMNO Khas tangguh pemilihan lepas pilihan raya. Saya tiba (di Kuala Lumpur) pagi, masih jetlag. Setiap kemahuan parti, saya buat tapi tak pernah dapat pengiktirafan daripada parti.
“Waktu Pilihan Raya Negeri Johor, kumpulan bubar sudah mula. Saya boleh sekat usul pemilihan UMNO. Saya tak langgar parti,” luah Ismail Sabri.
Sebelum itu Khairy Jamaluddin mendedahkan, ketegangan antara pemimpin UMNO berlaku ketika Ismail Sabri menjadi perdana menteri.
Malah kumpulan WhatsApp diwujudkan bagi menyebarkan naratif PWTC dan UMNO hingga menyebabkan perpecahan dalam kepimpinan menjadi semakin ketara.-MalaysiaGazette