KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang mengukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar, terus meningkat 1.3 peratus pada Julai 2024 berbanding 1.6 peratus pada bulan sebelumnya.
Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, semua sektor dalam IHPR pengeluaran tempatan terus meningkat sejak Mac 2024.
Sektor pertanian, perhutanan & perikanan naik 3.4 peratus, sama seperti bulan sebelumnya, dengan indeks penanaman tanaman kekal meningkat 8.0 peratus.
Sektor perlombongan meningkat 2.2 peratus (Jun 2024: 4.6%), disumbangkan oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah (3.0%).
Selain itu, sektor pembuatan meningkat marginal 0.9 peratus (Jun 2024: 1.1%) disebabkan oleh indeks pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (7.0%).
Sementara itu, indeks bekalan air dan bekalan elektrik & gas masing-masing naik 9.0 peratus dan 0.3 peratus.
Pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan terus menurun sebanyak negatif 0.2 peratus pada Julai 2024 (Jun 2024: -0.1%) disebabkan sektor pembuatan yang turun negatif 0.3 peratus (Jun 2024: 0.1%), terjejas oleh indeks pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-0.8%).
Pada masa sama, indeks bekalan elektrik & gas juga turun negatif 0.8 peratus (Jun 2024: -1.1%).
Sebaliknya, sektor pertanian, perhutanan & perikanan meningkat 1.1 peratus (Jun 2024: 1.1%), dengan indeks penanaman tanaman kekal mencatatkan peningkatan 2.7 peratus.
Sektor perlombongan pula meningkat 0.7 peratus (Jun 2024: -3.4%), disumbangkan oleh indeks pengekstrakan
petroleum mentah (2.7%).
Selain itu, sektor bekalan air juga naik 0.8 peratus (Jun 2024: 0.1%).
Semua peringkat pemprosesan mencatatkan peningkatan bulan ini.
Indeks barang siap naik 2.9 peratus (Jun 2024: 2.8%) disumbangkan oleh indeks kelengkapan modal (6.0%).
Sementara itu, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 1.5 peratus (Jun 2024: 2.6%) disebabkan oleh indeks bahan bukan makanan (2.3%).
Indeks bahan perantaraan, bekalan & komponen juga meningkat 0.6 peratus (Jun 2024: 0.7%) disebabkan oleh bahan dan komponen untuk pembuatan (2.0%).
Pada asas bulanan, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya naik sebanyak 0.8 peratus manakala indeks barang siap meningkat 0.2 peratus.
Namun begitu, indeks bahan perantaraan, bekalan & komponen menurun negatif 0.6 peratus. – MalaysiaGazette