KUALA LUMPUR – Penyedia perkhidmatan Haji dan Umrah terkemuka, Mitra Kembara Sdn Bhd telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pihak Berkuasa Pelancongan Saudi (STA) dalam satu majlis, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Dr Fazil Khan Abdul Kadir berkata, kolaborasi itu membolehkan Mitra Kembara menawarkan perkhidmatan membawa pelancong tempatan ke Arab Saudi sebagai destinasi pelancongan selain keagamaan.
“Perkongsian ini membolehkan Mitra Kembara mempelbagaikan pelancongan budaya dan sejarah di Arab Saudi, melengkapkan pakej keagamaan sedia ada.
“Kerjasama itu boleh mengeratkan hubungan pelancongan antara Malaysia dan Arab Saudi untuk memperkayakan pengalaman pengembaraan kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kerjasama ini membuka peluang baharu kepada pelancong Malaysia untuk menerokai warisan budaya dan sejarah Arab Saudi.
“Kerajaan Arab Saudi menawarkan khazanah tapak bersejarah, keajaiban seni bina dan pengalaman budaya yang menanti pengembara.
Selain itu, perkongsian ini menandakan satu langkah penting ke arah mengukuhkan hubungan pelancongan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi.
“Usaha ini membuka jalan kepada lebih banyak kolaborasi dalam mempromosikan pertukaran pelancongan, memupuk pemahaman budaya dan meningkatkan hubungan rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara,” katanya.
Selain itu, katanya, Mitra Kembara berhasrat bukan sahaja menjual pakej pelancongan bahkan memenuhi impian pelancong tempatan untuk melawat Arab Saudi sebagai destinasi pelancongan utama.
“Pakej pelancongan ke Arab Saudi merangkumi penginapan, hidangan penuh, tiket penerbangan kelas ekonomi melalui syarikat penerbangan.
“Antaranya Saudia Airlines, Emirates, Etihad, Qatar Airways, Malaysia Airlines, Turkish Airlines, Air Arabia, Salam Air, atau AirAsia, dan visa Umrah.
“Kami tidak menjual pakej, kami menjual impian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette