Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhilah Yusof ditemui dalam sidang media di tanah jerlus di Masjid India.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan laporan audit integriti bagi mengenal pasti punca kejadian tanah mendap dan jerlus di sekitar kawasan Masjid India, di sini.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhilah Yusof berkata, buat masa ini fokus utama adalah mencari dan menyelamat mangsa warga India yang terjerlus pada Jumaat lalu.

“Kita akan memanggil semua pihak antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan agensi-agensi berkaitan.

“Ini bagi melihat apa sahaja utiliti serta keseluruhan sistem aliran kita yang ada di bawah tanah ini bagi tujuan post-mortem. Sebab kadang-kdadang ada pembangunan baharu yang dilaksanakan di sini.

“Fokus utama kita lihat secara keseluruhan susulan berlaku mendapan kali kedua. Audit integriti ini juga untuk mengetahui tindakan apa  yang perlu ditambah baik dalam sistem kita bagi memastikan kejadian ini tidak akan berulang lagi pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa selepas meninjau di lokasi kejadian di sekitar Jalan Masjid India di sini

Tambah Fadhilah, beliau yakin dengan kemampuan pakar tempatan dan tiada keperluan untuk mendapatkan khidmat pasukan luar bagi membantu operasi SAR mangsa.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan setakat ini mangsa masih gagal ditemukan walaupun segala kaedah termasuk teknologi telah digunakan.

“Segala kemungkinan sudah pun dibuat di kawasan ini, teori serta teknologi termasuk sistem pembentungan sehingga IWK di Pantai Dalam.

“Bagaimanapun usaha untuk kita mencari belum berjaya. Jadi SAR hari ini memfokus di kawasan ini (Masjid India),” ujarnya.

Pada Jumaat lalu, Operasi SAR bagi mencari seorang wanita warga India, Vijayaletchumy, 48 yang memasuki hari keenam masih belum ada sebarang perkembangan.

Operasi SAR dilakukan melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), DBKL dan IWK. – MalaysiaGazette