Seorang lelaki warga Pakistan maut terkena renjatan elektrik di tapak karnival makanan dekat belakang pasaraya Lotus, Kuala Selangor, malam semalam.

KUALA SELANGOR – Seorang warga Pakistan maut terkena renjatan elektrik selepas memegang sebatang besi di tapak karnival makanan dekat belakang sebuah pasar raya, di sini, malam semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, dalam kejadian jam 8.50 malam itu, lelaki berkenaan tidak sedarkan diri dan disyaki meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

“Apabila anggota polis tiba di lokasi, mangsa yang berusia 32 tahun itu terbaring di atas pentas utama.

“Kejadian berlaku ketika lelaki warga asing itu bersama seorang rakannya yang memaklumkan mangsa memegang besi khemah di salah sebuah gerai.

“Mangsa kemudiannya terkena renjatan elektrik, lalu jatuh dan dibawa ke pentas untuk bantuan awal,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Menurut Mohd Ambia, hasil pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati, tiada tanda-tanda unsur jenayah yang boleh menjadi punca kematiah.

Selain itu, beliau berkata, hasil temubual awal dengan orang awam mendapati, ketika kejadian berlaku hujan lebat, selain terdapat peniaga dan pengunjung berada di kawasan terbabit.

Mohd Ambia turut memaklumkan, karnival makanan selama dua minggu itu yang bermula 16 Ogos lalu mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat.

“Punca kematian disahkan pegawai perubatan disebabkan renjatan elektrik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette