Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) membuat aduan kepada SPRM, Putrajaya hari ini berkaitan dakwaan penglibatan seorang ahli politik dengan kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) terkejut dengan penglibatan aktif seorang ahli politik dengan kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim mendakwa ahli politik itu bersama suaminya dipercayai terlibat dengan sebuah syarikat dalam aktiviti-aktiviti jenayah di Myanmar.

Baru-baru ini telah tular satu video pembongkaran sindiket pemerdagangan manusia tersebut di Myanmar di siaran youtube yang diterbitkan oleh negara Indonesia kerana ramai rakyat Indonesia telah menjadi mangsa sindiket terbabit yang secara terangan terlibat dalam aktiviti jenayah pemerdagangan manusia termasuklah melakukan paksaan, penyiksaan, penjualan organ manusia serta jenayah membunuh.

“Berdasarkan video tersebut menyatakan suami ahli politik itu turut memegang jawatan pengerusi lembaga pengarah keselamatan di dalam syarikat Dongmei Group syarikat yang disyaki terlibat di dalam aktiviti-aktiviti jenayah di Myanmar.

Hishamuddin mendakwa, Dongmei Group merupakan syarikat yang telah membantu membina pusat kegiatan scammer dan pemerdagangan manusia salah satunya dikenali sebagai KK Park di bandar Myawaddy, Myanmar.

Dakwanya,  pusat ini  dijaga rapi dengan askar-askar Junta
Myanmar dan mempunyai tembok pagar yang tinggi.

Kota Myawaddy ini juga telah menjadi pusat kepada aktiviti perjudian, dadah, pelacuran dan merosakkan akhlak dan
moral para pemuda di sana.

Selain itu, terdapat beberapa lagi tempat yang dijadikan pusat
memerdagangkan manusia seperti KK Park tersebut di Myanmar, seolah-olah kebal termasuklah Wan Kouk Koi yang merupakan ketua kepada Dongmei group dan kumpulan jenayah di Myanmar.

“Namun, yang mengejutkan apabila terdapat penglibatan ahli politik dan orang kenamaan Malaysia di dalam pertubuhan jenayah tersebut yang akan menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat Malaysia kerana ramai juga antara mangsa-mangsa yang ditipu adalah rakyat Malaysia serta tindakan mereka itu telah memalukan negara,” tambah Hishamuddin.

Dakwa beliau lagi, Wan Kouk Koi atau dikenali dengan gelaran “Brokentooth” serta syarikat Dongmei Group telah pun disenaraihitamkan oleh Office of Terrorism and Financial Intelligence (OFAC’s).

Amerika Syarikat (AS) juga telah meletakkan sekatan dan menyenaraihitamkan tokoh-tokoh penjenayah utama China dan ahli Parti Komunis China (PKC) yang juga pelabur utama di dalam “zon perindustrian” dan hab perjudian di Myawaddy termasuk Wan Kouk Koi yang dikenali sebagai ketua Triad 14K.

Triad 14K ini adalah sebuah kumpulan terkenal kerana terlibat dalam pengedaran dadah, perjudian haram, pemerasan, pemerdagangan manusia dan pelbagai aktiviti jenayah lain di Asia Tenggara dan AS.

MHO akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara ini pada petang ini.

“Kita akan buat aduan kepada SPRM Putrajaya petang ini sebelum tindakan-tindakan lain. Harapnya ada penyiasatan dan tindakan tegas dalam perkara ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette