Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Satu sindiket pembuatan wang palsu berjaya ditumpaskan susulan penahan tiga lelaki warga Cameroon yang disyaki mendalangi kegiatan tersebut, 15 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ketiga-tiga suspek itu ditahan menerusi dua serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur.

“Pihak polis juga berjaya merampas sebanyak 4,770 keping wang kertas RM100, wang kertas AS$100 (152 keping), sembilan bungkusan blok wang kertas RM100 yang kesemuanya disyaki palsu,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Turut dirampas tujuh telefon bimbit, satu kunci rumah bersama kad akses, dua beg galas, satu beg bimbit, tiga gulung plastik pembalut, satu botol gam, sebilah pisau pemotong kertas, satu pembaris, satu pita pelekat, empat keping pasport dan sebuah kereta Toyota Vios disyaki digunakan dalang sindiket.

Menurut Ramli, salah seorang daripada tiga suspek berkenaan masuk ke Malaysia 28 Julai lalu menggunakan pas pelawat.

Manakala dua lagi rakan senegaranya tidak mempunyai rekod perjalanan yang sah.

Tambah beliau, siasatan turut mendedahkan bahawa sindiket ini bergiat aktif menghasilkan wang palsu sejak Julai lalu dengan tujuan untuk menjual kepada pembeli yang berminat.

Ketiga-tiga warga Cameroon itu direman selama dua minggu yang tamat hari ini.

Bagaimanapun mereka telah direman semula oleh Jabatan Imigresen untuk disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan kerana kesalahan menggunakan wang palsu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika disabitkan kesalahan.-MalaysiaGazette