Pekerja DBKL mengambil langkah berjaya-jaga menutup kawasan mendapan baharu di Jalan Masjid India.

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan satu kejadian lubang mendapan baharu dikesan berhampiran lokasi kejadian tanah jerlus di Masjid India di Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Suliezmy Affendy Sulaiman berkata, perbincangan sedang dilakukan untuk memperluaskan penutupan jalan daripada diakses orang awam bagi menjamin keselamatan semua pihak.

“Bagaimanapun, perkembangan lanjut akan dimaklumkan dalam sidang media yang dijadualkan pada petang nanti,” katanya ringkas.

Difahamkan mendapan tanah itu berlaku kira-kira jam 2.30 pagi tadi, menyebabkan tanah berlubang seluas kira-kira dua kaki.

Mendapan itu terletak kira-kira 50 meter jarak dari lokasi tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) giat menutup laluan di kawasan lubang mendapan baharu pada jam 9.22 pagi tadi.

Pada masa sama, operasi mengesan seorang wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, yang hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter masih diteruskan.

Kejadian berlaku pada 23 Ogos lalu, ketika mangsa sedang berjalan di lokasi berkenaan untuk ke kuil berhampiran.

Operasi mengesan wanita berusia 48 tahun itu sudah memasuki hari keenam. – MalaysiaGazette