KUALA SELANGOR – Seramai 684 warga asing diperiksa dalam Operasi Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di sekitar Taman Perindustrian Alam Jaya, Bandar Puncak Alam, di sini, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, dari jumlah itu seramai 94 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Seramai 35 PATI termasuk 33 lelaki dan dua perempuan melakukan kesalahan tinggal melebihi tempoh dibenarkan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
“Manakala 46 lelaki dan 13 perempuan pula melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tinggal di Malaysia tanpa pas/permit yang sah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu beliau mengetuai Operasi Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di sekitar Taman Perindustrian Alam Jaya, Bandar Puncak Alam, di sini, bermula jam 6.30 petang hingga 12.30 tengah malam tadi.
Turut serta dalam operasi sama ialah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Malaysia (JPN) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).
Menurut Mohd Ambia, kesemua 94 PATI yang ditahan akan dihantar ke Imigresen Shah Alam untuk proses dokumentasi dan tindakan selanjutnya.
Ditanya tentang operasi tersebut, pihaknya melakukan risikan hampir tiga minggu sebelum serbuan dilakukan termasuk kawasan rumah kedai dan pangsapuri.
“Masyarakat setempat berasa tidak selesa sebab melihat banyak warga asing yang berulang alik bekerja.
“Jadi mereka takut untuk keluar. Penempatan mereka pula berhampiran dengan kawasan industri.
“Jadi kita ambil langkah ini supaya isu ini dapat ditangani dengan cepat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette