Ahmad Fahmi Mohd Samsudin

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) meminta agar privasi lelaki yang memeluk Islam selepas berada berhampiran dengan kejadian tanah jerlus di Majlis India, Jumaat lalu dihormati.

Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin yang mengesahkan perkara itu berkata, lelaki berkenaan memeluk Islam pada Isnin lalu di bawah kelolaan Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre di Masjid Negara.

“ABIM memohon agar semua pihak memberi ruang kepada saudara baru ini bertenang, menghormati privasi dan mendoakan kebaikan beliau.

“Semoga kita semua mendapat hidayah daripada Allah Subhanahu wa-Ta’ala, serta istiqamah dalam mengerjakan apa yang diperintahkan-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya,” kata Ahmad Fahmi dalam kenyataan.

Menurut beliau, ABIM menegaskan bahawa mempunyai agama adalah hak dan fitrah semula jadi manusia dan sudah semestinya tidak ada siapa pun boleh memaksa atau dipaksa dalam perkara beragama.

Hal ini katanya, selaras dengan firman Allah bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).” (Surah al-Baqarah: 256)

Serentak itu ABIM mengajak semua umat Islam untuk terus menyebarkan keindahan Islam dan selanjutnya meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah,

Dalam masa sama ABIM mendoakan agar operasi pencarian mangsa tanah jerlus di Masjid India dipermudahkan, dan menzahirkan rasa simpati buat keluarga mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2024/08/29/abim-sahkan-lelaki-di-kejadian-tanah-jerlus-masjid-india-peluk-islam/

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, ABIM mengesahkan berita tular seorang lelaki yang berada berhampiran dengan kejadian tanah jerlus di Masjid India memeluk Islam.

Laporan itu mendakwa seorang lelaki yang berada hampir dengan wanita warga India jatuh dan hilang dalam kejadian tanah jerlus di Masjid India telah memeluk Islam.

Menurut dakwaan tersebut, lekaki berkenaan berada di belakang warga India sebelum wanita itu jatuh.

Lelaki itu yang didakwa bernama Haridath, 48 dan merupakan rakyat Malaysia kemudian mengunjungi pejabat ABIM.

“Masya-Allah kami semua merasa terharu dengan hidayah yang Allah swt campakkan kepada beliau serta merta. Dia telah memilih nama barunya Harizan. Berumur 48 tahun. Still single.

“Ibu bapa sudah meninggal. Dia betul-betul terharu bila kita peluk dia selepas dia mengucap syahadah, berlinang air mata.

“Marilah sama-sama berdoa supaya Allah terus memberikan taufik hidayah supaya dia terus dapat meningkatkan ilmu agama Islamnya dan diberi iman untuk dia terus beramal mencari keredhaan Allah SWT,” katanya.

Dalam kejadian jam 8.25 pagi pada 23 Ogos lalu, seorang wanita warga India berusia 48 tahun dikenali Vijayaletchumy dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam kira-kira lapan meter di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.-MalaysiaGazette