Gambar tular mendakwa lelaki yang berada berhampiran kejadian tanah runtuh di Masjid India peluk Islam.

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengesahkan berita tular seorang lelaki yang berada di Masjid India ketika kejadian tanah runtuh melibatkan wanita warga India telah memeluk Islam.

Menurut ABIM, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

“Salam. Kenyataan rasmi akan menyusul, tuan. Tentang pengislaman sahih,” katanya ringkas melalui Facebook Massenger kepada MalaysiaGazette.

Tular di media sosial mendakwa kononnya seorang lelaki yang berada hampir dengan wanita warga India jatuh dan hilang dalam kejadian tanah jerlus di Masjid India telah memeluk Islam.

Menurut dakwaan tersebut, lekaki tersebut berada di belakang wanita berkenaan sebelum warga India itu jatuh.

Lelaki itu yang didakwa bernama Haridath dan merupakan warganegara Malaysia kemudian mengunjungi pejabat ‘ABIM’ (Angkatan Belia Islam Malaysia) yang terletak di Masjid Negara.

“Dia terduduk, kakinya terlunjur ke dalam lubang. Dia serta merta bangun berdiri melarikan diri dari lubang itu. Masya-Allah, semalam di pejabat ABIM di Masjid Negara, pemuda ini datang berjumpa kami dengan dua orang kawannya.

“Beliau bernama Haridath; seorang India beragama Hindu -rakyat Malaysia. Beliaulah pemuda di dalam video tular yang terselamat daripada  ditelan tanah jerlus itu.

Sebaik sahaja terselamat, dia terus membuat keputusan hendak masuk Islam secepat mungkin.

“Dia benar-benar yakin dengan adanya Allah SWT dan Allah SWT telah menyelamatkan dia dari ditelan bumi. Maka dia terus yakin yang Allah sayangkan dia dan dia mesti masuk Islam dan menjadi seorang muslimin,” kata dakwaan tersebut.

Kenyataan yang tidak meletakkan nama sumber itu, mendakwa ‘pengislaman Haridath dilakukan dalam Bahasa Inggeris.

Pemuda tersebut yang berumur 48 tahun dan masih bujang dikatakan terharu selepas memeluk agama Islam.

“Masya-Allah kami semua merasa terharu dengan hidayah yang Allah swt campakkan kepada beliau serta merta. Dia telah memilih nama barunya Harizan. Berumur 48 tahun. Still single.

“Ibu bapa sudah meninggal. Dia betul-betul terharu bila kita peluk dia selepas dia mengucap syahadah -berlinang air mata.

“Marilah sama-sama berdoa supaya Allah terus memberikan taufik hidayah supaya dia terus dapat meningkatkan ilmu agama Islamnya dan diberi iman untuk dia terus beramal mencari keredhaan Allah SWT,” katanya.

Dalam kejadian jam 8.25 pagi pada 23 Ogos lalu, seorang wanita warga India berusia 48 tahun dikenali Vijayaletchumy dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam kira-kira lapan meter di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Laporan kejadian itu diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur pada jam 8.22 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast