Halimatul menunjukkan bumbung kediamannya bergegar dan retak sedikit akibat gegaran letupan misteri di rumahnya di Kampung Batu 5, Segama, petang, semalam.

SEGAMAT – Penduduk Kampung Batu 5, di sini, gempar dengan bunyi sangat kuat yang disangka gempa bumi dan ledakan meriam, petang semalam.

Seorang penduduk, Nur Halimatul Shahana Suanda, 26, mendakwa mendengar bunyi berkenaan selama beberapa kali pada pukul 3.50 petang.

“Saya ingatkan ada gempa bumi selepas mendengar bunyi letupan kuat tujuh kali berturut-turut.”

“Semasa kejadian saya sedang menidurkan anak dalam buaian di rumah dan berada dalam ketakutan sebaik mendengar letupan kuat itu.

“Letupan kuat menyebabkan bumbung rumah bergegar. Saya fikirkan ada berlaku gempa bumi tetapi cuaca agak cerah dan baik-baik sahaja.

“Bunyi kuat itu saya sangka pada mulanya bunyi meriam tentera untuk latihan sambutan kemerdekaan,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, hari ini.

Kejadian tersebut tular dalam media sosial yang menimbulkan kebimbangan orang ramai di kampung berkenaan dan daerah ini.

Nur Halimatul berkata, dia hanya menyedari bunyi letupan tersebut selepas menerima panggilan telefon daripada beberapa kenalannya yang mengalami perkara sama.

Suri rumah itu turut mengikuti perkembangan misteri letupan tersebut selepas tular dalam media sosial.

“Saya ada membaca kekecohan, komen dalam media sosial sekitar Segamat mengenai letupan misteri itu, tetapi tidak diketahui puncanya dan timbul rasa pelik,” katanya.

Ibunya, Nora Mohd Nor, 50-an, berkata, ketika kejadian dia berada di bilik depan sebelum dikejutkan dengan jeritan Nur Halimatul mengatakan berlaku gempa bumi kerana bumbung bergegar kuat.

“Bila lihat bahagian bawah bumbung terdapat sedikit keretakan, namun saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Abdullah, Mohd Hazim Abd Razak berkata, pihaknya belum menerima sebarang panggilan kecemasan berhubung gegaran tersebut.

Menurutnya, pihaknya juga menafikan gegaran itu berpunca daripada aktiviti latihan tembakan meriam sempena Hari Kemerdekaan. – MalaysiaGazette