Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Zaliha Mustafa mendengar penerangan Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing Group, Tan Seri Datuk Seri Leong Hoy Kum ketika melawat replika Residensi Suria Madani selepas merasmikan Pecah Tanah Projek Rumah MADANI di Taman Desa, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 29 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan menghalang mana-mana pihak untuk membangunkan kawasan bandar dengan kediaman mewah termasuk kondominium yang bernilai jutaan ringgit bagi memenuhi permintaan semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam masa sama pemaju hartanah diingatkan agar tidak meminggirkan keperluan majoriti rakyat di kawasan bandar yang mendambakan perumahan mampu milik.

“Ada kawasan-kawasan mewah nak dibangunkan, jangan kita halang, dia boleh bangunkan, dia bukan jadi masalah.

“Saya tidak anjurkan perseteruan mana-mana kumpulan, kalau ada, mereka mampu, adakan rumah atau kondo Harga RM10-RM20 juta, itu soal dia, jangan ganggu.

“Tetapi jangan sesekali abaikan kepentingan majoriti rakyat,” katanya berucap pada Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Residensi Madani, Taman Desa, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memastikan kepentingan majoriti rakyat di kawasan bandar merangkumi perumahan dan premis perniagaan disantuni dengan baik.

“Pembangunan mana-mana kota tidak hanya ditandai dengan mercu tanda yang hebat dan pencakar langit yang memukau keindahan, tetapi juga keselesaan kepada rakyat, ini cabaran kita.

“Dalam konsep Madani ini, ada prinsip ihsan, bagaimana kita boleh bangga dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang ada bangunan pencakar langit, tetapi tidak dapat menyantuni rakyat, iaitu perumahan warung dan gerai mereka.

“Ini cabaran kita, tentunya bagi peniaga dan pengusaha menghadapi cabaran, tarikan untuk membangunkan kawasan yang mahal akan memperoleh keuntungan lebih,” katanya.

Beliau tidak menafikan perkara itu turut menjadi cabaran kepada pentadbiran beliau dalam mengimbangi antara keperluan golongan berpendapatan tinggi (T20), sederhana (M40) dan rendah (B40).

“Sebab itu sangat sukar bagi mana-mana kerajaan atau penguasa untuk menekankan ada konsep pembangunan yang beri perhatian kepada majoriti rakyat

“Yang majoriti di Kuala Lumpur ini rakyat M40 dan B40, golongan yang agak relatif miskin, tetapi menyantuni mereka ini menjadi satu kesukaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette