Kegiatan sindiket pemalsuan dokumen didalangi seorang lelaki warga Bangladesh berusia 23 tahun. Foto Ihsan JIM

KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket pemalsuan dokumen didalangi seorang lelaki warga Bangladesh terbongkar selepas dia ditahan Jabatan Imigresen (JIM) dalam serbuan di sebuah premis kediaman di sekitar Petaling Jaya, Selangor, hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tangkapan lelaki berusia 23 tahun itu dibuat menerusi operasi khas oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, jam 9.05 pagi.

Katanya, operasi terbabit dilakukan berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan pihaknya selama dua minggu.

“Hasil soal siasat, kita turut menahan empat lelaki Bangladesh berusia lingkungan 21 hingga 34 tahun dipercayai sebagai pembantu kepada ‘dalang utama’ atau pembantu sindiket yang menjadikan jumlah keseluruhan ditahan adalah lima orang.

“Semakan awal mendapati ‘dalang utama’ telah tinggal lebih masa manakala warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Empat lelaki warganegara Bangladesh berusia lingkungan 21 hingga 34 tahun dipercayai sebagai pembantu kepada ‘dalang utama’ atau pembantu sindiket turut ditahan. – Foto Ihsan JIM

Tambah beliau lagi, turut dirampas 29 naskhah pasport disyaki palsu terdiri daripada 26 pasport Bangladesh, Indonesia (2), Myanmar (1), sebuah komputer riba, satu unit pencetak dan resit pembayaran secara dalam talian.

Katanya lagi, modus operandi yang digunakan sindiket adalah menawarkan perkhidmatan kepada warganegaraasing yang tidak memiliki pasport untuk mendapatkan dokumen Fomema.

“Mereka akan menggunakan khidmat pembantu sindiket dengan bayaran RM100 untuk setiap pasport bagi tujuan mendapatkan dokumen Fomema menerusi promosi di aplikasi WhatsApp.

“Kemudian, pembantu itu akan hadir ke Klinik Panel Fomema untuk memohon dengan menggunakan maklumat di pasport yang disyaki palsu.

“Kesemua pembantu sindiket telah hadir sebanyak 19 kali di Klinik Panel Fomema yang berlainan dan ditentukan oleh ‘dalang utama’,” jelasnya.

Sindiket itu dipercayai telah beroperasi selama empat bulan dan kadar bayaran yang dikenakan sebanyak RM500 untuk setiap perkhidmatan dan penghantaran menerusi kurier atau serahan tangan. – Foto Ihsan JIM

Tambah beliau, sindiket itu dipercayai telah beroperasi selama empat bulan dan kadar bayaran yang dikenakan sebanyak RM500 untuk setiap perkhidmatan dan penghantaran menerusi kurier atau serahan tangan.

“Susulan itu, kesemua suspek telah ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk membantu siasatan dan dalang utama akan disiasat dibawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 12(1)(a) dan Seksye 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

“Manakala empat lagi suspek warga Bangladesh ditahan dibawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(a) Pasport 1966. Selain itu, seorang lelaki tempatan juga diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – MalaysiaGazette