Gambar hiasan. foto HAZROL ZAINAL, 08 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa tidak tunduk dengan tekanan syarikat gergasi teknologi maklumat (IT) yang mahu supaya dasar pelesenan kepada pengendali platform media sosial dikaji semula.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. B. Rani Ann. berkata, tekanan yang diberikan syarikat-syarikat IT gobal terbabit jelas hanya berdasarkan kebimbangan berhubung kesan terhadap keuntungan perniagaan mereka.

Sedangkan, ujar beliau, kepentingan daripada keputusan dibuat kerajaan itu adalah lebih besar iaitu untuk keselamatan dan keharmonian dalam kalangan rakyat majmuk di negara ini.

Tambah belilau, ketegasan kerajaan berhubung dasar itu juga akan memperlihatkan kepada syarikat IT global berkenaan yang mana negara mempunyai hala tuju yang jelas serta berintegriti.

Pengerusi Rancangan Pra Siswazah Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr B. Rani Ann.

“Pada saya, kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat IT global itu lebih berunsurkan kepentingan sendiri, bukannya melihat kepentingan negara ini.

“Kerajaan perlu meletakkan kepentingan negara dahulu berbanding syarikat-syarikat yang bertujuan untuk mengaut keuntungan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, Asia Internet Coalition (AIC) iaitu persatuan yang mewakili sejumlah syarikat-syarikat teknologi global seperti Apple, Facebook, Google, Expedia Group, Amazon, Line, LinkedIn dan sebagainya menyifatkan rangka kerja pelesenan yang bakal dilaksana kerajaan akan memberi kesan buruk kepada inovasi dengan meletakkan beban yang tidak wajar kepada perniagaan.

Dalam satu kenyataan, AIC menambah, dasar itu juga akan menghalang pelaburan berterusan dan pelaburan masa depan kerana kerumitan serta kos pematuhan.

Kenyataan itu susulan kerajaan menetapkan semua platform permesejan dan media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna tempatan perlu memohon lesen berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

Ujar Rani Ann, dasar pelesenan yang mahu dilaksanakan kerajaan itu jelas bagi mengekang pelbagai isu kebejatan sosial yang disebabkan oleh lambakan media sosial tanpa kawalan.

Antaranya, kata beliau, termasuk pengaliran berita palsu, `wartawan warga maya’ yang tidak mempunyai etika, `scammer’ dan sebagainya.

Selain itu, tambahnya, terdapat juga netizen tidak bertanggungjawab yang berselindung dengan menggunakan nama-nama palsu dan mengeluarkan pelbagai kenyataan tidak beretika.

Tindakan itu, katanya, boleh menyebabkan berlakunya hasutan dan pertelingkahan bukan sahaja sesama kaum, malah antara kaum.

“Semua perbuatan ini membawa kepada risiko dan ancaman jelas iaitu perpaduan negara yang menjadi lambang kepada negara Malaysia selama ini akan tergugat.

“Penggunaan media sosial yang tidak dikawal seperti ini boleh membawa masalah kepada negara pada masa kini dan masa akan datang.

“Syarikat-syarikat IT global tidak mengetahui mengenai kemajmukan rakyat negara ini dan cabaran terhadap keunikan tersebut, sebab itu kerajaan perlu tegas dan tidak tunduk terhadap desakan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette