Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohammad bercakap kepada wartawan ketika sidang media mengenai perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa warga India yang terjerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 29 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Pasukan operasi dan menyelamat (SAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang sedang mencari wanita warga India yang hilang selepas tertimbus dalam tanah jerlus  kini berusaha untuk mengalihkan halangan serpihan yang  sepanjang 15 meter.

Halangan itu didapati menghalang aliran dalam paip pembentungan berhampiran Wisma Yakin.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, halangan itu telah dikesan pasukannya kira-kira 44 meter dari lokasi utama kejadian tanah jerlus selepas ujian aliran air menggunakan botiol pada hari pertama dan hari kedua kejadian yang berakhir di loji Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam.

Pegawai Jabatan Mineral dan Geosains menggunakan alat pengesan Ground Penetrating Radar (GPR) untuk mengesan wanita warga India yang masih hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 29 OGOS 2024

“Kita telah melaksanakan dua ujian yang mana pelepasan tong air dari hari pertama dari lokasi tanah jerlus dan dan ujian melepaskan botol air pada hari kedua dari Wisma Yakin.

“Hasil pemerhatian kami menerusi kedua-dua ujian itu mendapati setiap luring kumbahan dan di Loji IWK Pantai Dalam, dua botol yang dilepaskan dari ‘ground zero‘(lokasi tanah jerlus) itu masih tidak keluar.

“Rentetan dapatan itu, malam tadi pasukan kita menggunakan dua pendekatan baharu iaitu melencongkan sebahagian aliran air dalam paip pembetungan untuk mengurangkan parasnya,” katanya dalam sidang media di sini.

Tambah beliau, pada masa yang sama pasukan SAR turut menggunakan dua pam berkapasiti tinggi iaitu 10,000 hingga 20,000 liter air dan hasilnya kita dapat menurunkan paras air daripqda 1.5 meter kepada 0.8 meter dalam paip.

Pasukan SAR turut memasukkan kamera iaitu dua dari arah atas dan dua dari arah bawah sebelum pemerhatian daripada atas mendapati tiada pengurangan air yang nyata iaitu sekadar 0.3 meter tetapi di peringkat bawah airnya turun separuh daripada paip.

“Selepas kami membaca jarak gerakan kamera pada jarak 7.6 meter kami percaya terdapat halangan dalam paip pembentungan daripada luring kumbahan dari WismaYakin iaitu di jarak 7.6 meter, yang mana dikesan berlaku halangan disebabkan serpihan anggaran lebih kurang 15 meter panjang.

“Ekoran perkembangan terbaharu itu, jam 5 petang tadi kita memulakan usaha merungkaikan halangan tersebut dan jika ia berjaya , kita boleh melihat seluruh permukaan dan imej sisa-sisa itu dengan jelas.

“Kita akan mengulangi kaedah itu pada malam ini,” tambahnya.

Nor Hisham mengakui kerja itu mencabar dan perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati atas faktor keselamatan pasukan SAR.

Jelasnya, pasukan penyelam pakar yang dibawa dari Akademi JBPM Wilayah Utara akan melakukan proses itu dengan menggunakan batang besi dan mengikat tali mengelak berlaku aliran deras secara tiba-tiba yang boleh membahayakan keselamatan petugas.

“Kita perlu berhati-hati kerana berdepan risiko 100 kubik meter tekanan air dan impak timbunan serpihan halangan sepanjang 15 meter itu sekiranya berjaya mengalihkan halangan di dalam saluran lurang kumbahan itu.

“Kalau keadaan ketika itu selamat, kita akan turun (ke arah halangan) dan bincang langkah seterusnya. Pada masa sekarang risiko terlampau tinggi ekoran paip penuh (air) dan tekanan himpunan halangan itu,” katanya.

Bagi mengurangkan risiko kepada penyelam, Nor Hisham turut memaklumkan pihaknya mewajibkan anggota untuk memakai set pakaian lengkap skuba serta oksigen mencukupi ketika mereka melakukan selaman dan pencarian di bawah.

“Tidak dinafikan ada bahan kimia di dalam sana seperti metana apabila gas lain memenuhi ruang dan ia berisiko menyebabkan kadar gas oksigen anggota menurun.

“Kita mensyaratkan yang masuk pakai skuba set agar dapat oksigen mencukupi, kita mematuhi IWK standard dan pemantauan gas ketika masuk itu selamat,” ujarnya.-MalaysiaGazette