KUALA LUMPUR – Pendakwaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung ucapan yang dikatakan menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) hanya akan membuatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkenaan lebih popular.
Malah, Presiden Interim Urimai, Dr. P. Ramasamy berkata, bekas Perdana Menteri berkenaan tidak seharusnya disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 ketika Kerajaan Madani hari ini kononnya memperjuangkan reformasi, perubahan demokratik dan kebebasan.
Tambah bekas pemimpin DAP berkenaan, ucapan Muhyiddin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri berkenaan isu 3R itu mungkin sesuatu yang tidak wajar.
Namun, ujarnya, sama ada ucapan itu wajar disiasat dan didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 masih menimbulkan persoalan.
Kata beliau, laporan polis yang dibuat terhadap Muhyiddin juga tidak menggambarkan keseriusan kes jenayah yang dilakukan, sebaliknya hanya lebih bertujuan mendapat keuntungan politik.
“Seperti hujah sesetengah pihak, Malaysia tidak berada di bawah sistem raja berperlembagaan yang mutlak yang membenarkan kritikan dan perbezaan pendapat mengenai peranan monarki.
“Berdasarkan hakikat ini, walaupun kandungan ucapan Muhyiddin itu tidak sesuai dan kontroversi, namun adakah wajar beliau didakwa di bawah Akta Hasutan?” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Ramasamy berkata, adalah sesuatu yang malang untuk Kerajaan Madani bergantung kepada akta yang disifatkan lapuk itu untuk terus kekal berkuasa.
Dakwanya, Muhyiddin didakwa kerana beliau ialah pemimpin pembangkang yang mempunyai potensi untuk menggantikan kerajaan hipokrit hari ini pada masa depan.
Kelmarin, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan atas tuduhan mengeluarkan perkataan menghasut ketika kempen PRK Nenggiri, pada 14 Ogos lalu.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri. – MalaysiaGazette