Ramli Mohamed Yoosuf.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia sedang menyiasat satu skim penipuan pelaburan yang berselindung di sebalik nama sebuah syarikat pelaburan tulen dari luar negara iaitu “Pantheon Ventures”.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sejak Julai lepas, sejumlah 97 laporan polis telah diterima berkaitan skim penipuan pelaburan itu.

Katanya, ia melibatkan kerugian keseluruhan melebihi RM41 juta.

“Siasatan polis setakat ini mendapati, modal minimum bagi menyertai pelaburan ini adalah sekitar RM50,000 dan ini mengakibatkan jumlah kerugian yang dialami oleh setiap seorang mangsa adalah amat besar.

“Setakat ini, jumlah kerugian tertinggi yang dicatatkan bagi seorang mangsa sahaja adalah RM5.75 juta iaitu membabitkan seorang warga emas berusia 63 tahun yang membuat laporan polis di ibu negara 15 Ogos lalu,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati pada sekitar Mei tahun ini mangsa yang juga merupakan pengarah syarikat telah melayari laman Facebook dan berminat untuk menyertai pelaburan “Pantheon Ventures”.

Jelasnya, pengadu itu kemudiannya telah dimasukkan ke kumpulan Whatsapp pelaburan terbabit dan seterusnya diarahkan sindiket untuk membuat sejumlah pembayaran ke beberapa akaun bank bagi tujuan pelaburan.

“Selepas terpedaya dengan sindiket itu, pengadu secara keseluruhannya telah membuat sebanyak 26 transaksi pembayaran wang ke beberapa akaun bank milik syarikat berbeza melibatkan nilai keseluruhan RM5.75 juta tetapi sehingga kini, pengadu tidak menerima sebarang keuntungan.

“Kini kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Suka saya ulangi, apa jua bentuk tawaran pelaburan melalui platform media sosial perlu dianggap sebagai penipuan dan orang ramai perlu ada kegusaran atau pertimbangan kepada perkara ini,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar faham dan jelas berkenaan perkara itu.

Tambahnya, jika ingin membuat pelaburan, lakukan secara selamat melalui skim pelaburan yang diiktiraf oleh badan-badan penguatkuasa pelaburan di negara ini seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia.

Jelas Ramli lagi, antara lain, tular di media sosial berkenaan tawaran saham IPO (Initial Public Offering atau Tawaran Awam Permulaan) bagi syarikat yang ingin disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Suka saya mengingatkan segera agar orang ramai sentiasa berwaspada dengan tawaran pelaburan sebegini kerana dikhuatiri ia adalah penipuan.

“Sekalipun tawaran ini dibuat oleh individu berperwatakan agama di media sosial, tiada jaminan ia adalah satu skim pelaburan yang tulen.

“Perlu diingat bahawa IPO memerlukan proses tertentu yang perlu dipatuhi dan pelabur yang berminat untuk menyertai pelaburan sebegini digesa untuk membuat semakan terlebih dahulu dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang merupakan badan penguatkuasa bagi aktiviti pelaburan di Malaysia,” katanya.-MalaysiaGazette