Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas rugi RM10.2 juta setelah menyertai satu skim penipuan pelaburan mata wang kripto dalam talian, pada 17 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa di Sarawak, ahli perniagaan itu mula menyertai pelaburan terbabit pada April lalu setelah berkenalan dengan seorang individu secara dalam talian.

Katanya, individu itu mengajar pengadu perihal pelaburan mata wang kripto dan meminta pengadu memuat turun aplikasi Coinbase Wallet bagi mengakses laman us-btce.net bagi tujuan pelaburan.

“Sejak April hingga Jun 2024 , pengadu telah membuat pindahan secara berperingkat ke dalam akaun pelaburannya melibatkan wang bernilai keseluruhan RM10.2 juta.

“Apabila ingin membuat pengeluaran daripada platform berkenaan, pengadu diarahkan membuat bayaran tambahan berjumlah AS$300,000 dolar.

“Setelah bayaran dibuat seperti diarahkan sindiket itu, pengadu mendapati wang dari akaun pelaburannya menjadi kosong,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, siasatan polis setakat ini mendedahkan bahawa platform pelaburan yang disertai pengadu adalah sebuah platform pelaburan di luar negara.

Justeru katanya, maklumat turut mendedahkan pihak berkuasa Amerika Syarikat telah mendakwa pengendali platform BTC-e pada 31 Januari lalu atas kesalahan pengubahan wang haram.

“Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Sebagai langkah pencegahan mereka yang berniat menceburi pelaburan mata wang kripto dinasihati agar melakukan kajian terlebih dahulu terhadap skim pelaburan yang ditawarkan.

“Mereka perlu memahami bahawa operator skim pelaburan perlu berdaftar dengan pihak berkuasa untuk menjalankan perkhidmatan kewangan atau pelaburan.

“Sekiranya di Malaysia, operator skim pelaburan hendaklah berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Bank Negara Malaysia,” tambahnya.-MalaysiaGazette