KUALA KUBU BHARU – Ahli keluarga Nur Farah Kartini Abdullah terkilan kerana tidak sempat mengikuti prosiding sebutan semula kes pembunuhan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.
Abang allahyarham, Mohd Farriza Azmi, 28, berkata, kesemua lapan ahli keluarga telah tiba di mahkamah tempat jam 9 pagi namun tidak sempat mengikuti prosiding tersebut.
Turut kelihatan ibu mangsa, Salmah Abdullah, 57, dari Sarawak telah tiba ke Kuala Kubu Bharu seawal jam 1 pagi tadi bersama sepupu Nur Farah Kartini.
“Kes tersebut bermula awal, kami tak sempat masuk tadi dan tengok semua sudah keluar nampak macam dah habis,” katanya pada pemberita di luar perkarangan Mahkamah Kuala Kubu Bharu.
Ditanya mengenai keadaan ibu allahyarham, Mohd Farriza berkata wanita tujuh anak itu semakin pulih dan reda dengan pemergian Nur Farah Kartini.
“Alhamdulillah sudah boleh makan dan tidur sikit-sikit, perlahan-lahan untuk kembali seperti dulu agak lama,” ujarnya.
Sementara itu, sepupu mangsa, Suzur Sofia Smeth Jaya,33, berkata, dia pasrah untuk menunggu prosiding seterusnya Oktober depan.
“Mak dengan abang (Nur Farah Kartini) memang datang nak tengok hari ini. Macam saya sebelum ini memang sudah datang tapi nak buat macam mana, hari ini tidak sempat pula, jadi kita tunggu prosiding seterusnya pada 7 Oktober,” ujarnya.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bahru hari ini menetapkan 7 Oktober depam bagi sebutan semula kes anggota polis berpangkat Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 26, yang didakwa membunuh Nur Farah Kartini Abdullah.
Majistret Nurul Izzah Hassan Basri menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan bahawa laporan kimia dan bedah siasat berhubung kes itu belum diperolehi.
ARTIKEL BERKAITAN
Laporan kimia belum siap, sebutan semula kes Nur Farah Kartini 7 Okt