Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM).

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan tiada berlaku penculikan melibatkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun di Setia Alam, Shah Alam, Selangor seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsay Anak Embol berkata, pihaknya menerima laporan kes itu daripada bapa mangsa berusia 41 tahun pada jam 11.26 malam, Rabu.

“Siasatan mendapati kanak-kanak lelaki ini masih bersekolah dan setiap hari akan mengikuti pengajian al-Quran di surau berdekatan rumahnya dari jam 8 hingga 9 malam.

“Pada hari kejadian selepas kelas belajar al-Quran, mangsa tidak terus pulang ke rumah tetapi telah berjalan kaki seorang diri menuju ke kawasan Setia City Mall dengan niat hendak melarikan daripada rumahnya.

“Mangsa kemudian telah diselamatkan oleh satu pasangan Melayu yang kebetulan melalui jalan tersebut.

“Sebelum dihantar pulang, kanak-kanak itu dibawa ke sebuah stesen minyak di Setia Alam untuk membeli makanan terlebih dahulu disebabkan kelaparan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kanak-kanak itu kemudian meminta kebenaran untuk ke tandas dan terus menelofon bapanya.

Katanya, kanak-kanak itu terpaksa mereka-reka cerita kerana takut dimarahi oleh bapanya kerana tindakannya yang ingin melarikan diri dari rumah.

“Semakan kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu mendapati tiada kejadian culik berlaku seperti mana yang diceritakan oleh mangsa.

“Rakaman itu memaparkan mangsa sedang membeli makanan bersama satu lelaki Melayu yang membantunya pada masa itu dan polis telah mengenal pasti saksi ini sebelum dipanggil untuk untuk dirakam percakapan,” jelasnya.

Berikutan itu katanya, kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan mangsa dipercayai bertindak demikian kerana tertekan akibat sering dimarahi ibunya.

Beliau juga menegaskan, mana-mana individu yang memberikan memberikan apa-apa maklumat palsu secara lisan atau bertulis kepada penjawat awam yang menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang sehingga mendatangkan bencana atau kegusaran kepada mana-mana orang, boleh disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular di media sosial seorang kanak-kanak lelaki didakwa diculik dua lelaki warga asing dengan menaiki sebuah kenderaan. – MalaysiaGazette