Foto: SPRM

SIBU – Seorang lelaki berusia 42 tahun yang ditahan reman Isnin lepas kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyelewengan diesel bersubsidi dan merasuah pegawai penguat kuasa dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, hari ini.

Majistret Oon Kork Chern membenarkan suspek dibebaskan setelah tempoh tahanan reman selama empat hari ke atasnya berakhir hari ini.

Suspek dan adik perempuannya yang berusia 39 tahun ditahan reman Isnin lepas bagi membantu siasatan kes itu, bagaimanapun, adiknya dibebaskan pada Selasa lepas dengan jaminan SPRM.

Mereka ditahan di sebuah depoh simpanan diesel di Sungai Bidut di sini semasa operasi Op Liter yang dijalankan oleh SPRM serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Hidup.

Turut ditahan seorang pembantu penguat kuasa serta seorang pengarah sebuah agensi penguat kuasa dan mereka juga telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Akta Kawalan Bekalan 1961. – Bernama