KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengajak seluruh rakyat mengambil semangat pejuang kemerdekaan sebagai inspirasi untuk terus memperkukuh nilai-nilai madani dalam menghadapi cabaran masa kini.
Ia termasuk memupuk persaudaraan, menghormati kepelbagaian dan memperjuangkan keadilan sosial.
Tambahnya, tema sambutan kemerdekaan tahun ini iaitu ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ menggambarkan aspirasi seluruh rakyat untuk membina sebuah negara yang berpaksikan nilai-nilai kemanusiaan, keadilan dan keberanian.
“Ia mengingatkan kita kemerdekaan bukan sekadar kebebasan dari penjajahan, tetapi juga tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk terus memelihara kemakmuran, perpaduan dan keharmonian di tanah air yang tercinta ini,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 hari ini.
Tambah Ahmad Zahid, setelah 67 tahun mencapai kemerdekaan, rakyat kini berdiri teguh sebagai bangsa Malaysia yang bersatu dan terus melangkah ke hadapan dengan semangat kebersamaan.
“Sebagai anak Malaysia, kita semua bertanggungjawab memastikan warisan kemerdekaan ini terus terpelihara.
“Marilah kita bersama-sama kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga serta menghayati makna Jiwa Merdeka,” katanya. – MalaysiaGazette