Onn Hafiz menubca skuter elektrik dalam Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Johor di Dataran Segamat, Segamat, hari ini

SEGAMAT – Semangat generasi terdahulu yang berjuang menuntut kemerdekaan perlu dicontohi dan dijadikan inspirasi untuk terus memajukan Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penghayatan jasa dan sumbangan golongan itu perlu dihargai kerana sudah banyak melakukan pengorbanan.

“Kita harus mengenang dan menghargai perjuangan nenek moyang kita dalam mendapatkan kemerdekaan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Johor di Dataran Segamat di sini hari ini.

Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd muncul johan keseluruhan perbarisan dan perarakan yang dirasmikan Onn Hafiz.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi serta Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip.

Dalam ada itu, Menteri Besar Johor menyeru semua pihak berganding bahu membangunkan negeri yang dicintai selain mensyukuri segala nikmat sedia ada.

Beliau juga mahu rakyat sentiasa menjaga keharmonian antara kaum bagi memastikan perpaduan dapat dikekalkan.

Pelbagai kategori dipertandingkan pada sambutan Hari Kebangsaan tahun ini di negeri ini antaranya Kategori Sepanduk Terbaik, Kategori Pakaian Terbaik, Kategori Badan Beruniform Sekolah Terbaik.

Pemenang kategori keseluruhan perbarisan tahun ini disandang Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) manakala Kategori Perbarisan Terbaik (Peringkat Sekolah) dimenangi Persatuan Kadet Bersatu Malaysia.

Selain itu, Kategori Jabatan Kerajaan Negeri dan Badan Berkanun dimenangi Jabatan Perhutanan Negeri Johor, tempat kedua Kontijen Perbendaharaan Negeri Johor dan tempat ketiga Majlis Daerah Simpang Renggam.

Tidak ketinggalan pakaian terbaik peringkat sekolah, tadika dan pewaris dijuarai Tadika Kemas Daerah Segamat, tempat kedua Tadika Perpaduan Daerah Segamat dan tempat ketiga Tadika Agama Johor Mukim Jabi.

Kali pertama daerah ini menganjurkan Hari Kebangsaan Peringkat Johor adalah pada 2005- MalaysiaGazette