Orang ramai menyaksikan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang melintasi ruang udara pada Sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ di Dataran Putra, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 31 OGOS 2024

PUTRAJAYA – Persembahan aset-aset udara milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pasukan keselamatan lain antara acara paling ditunggu-tunggu oleh orang ramai di Dataran Putrajaya pada sambutan Hari Kebangsaan 2024  hari ini.

Nornajwa Alias, 42, pengunjung sambutan Hari Kebangsaan 2024

Nornajwa Alias, 42, yang memilih untuk memakaikan baju  tema Jalur Gemilang kepada dua anaknya berkata, anak-anaknya teruja dan gembira melihat aset negara terutama ketika persembahan udara dengan bunyi deruman enjinnya.

Menurutnya, dia bawa anak-anaknya menyertai sambutan Hari Kemerdekaan negara  bagi mendidik rasa patriotisme pada negara.

“Kita ingin tanamkan rasa cinta pada negara sejak kecil lagi supaya kemudian hari mereka dapat melihat peredaran zaman.

Zulkiflie Md Aros, 40, dari Nilai bersama ahli keluarga

Zulkiflie Md Aros, 40, dari Nilai bersama ahli keluarga pula melahirkan keterujaan untuk menonton semua persembahan ditampilkan sepanjang sambutan Hari Kebangsaan itu.

“Kami semua bergerak dari sana (Nilai) naik pengangkutan awam sekitar jam 3 pagi sebab anak-anak tidak sabar nak tengok persembahan di sini sejak latihan raptai lagi.

“Sebenarnya datang ke sini untuk memberi pengalaman pada anak-anak saya menghayati erti kemerdekaan dan alhamdulilah mereka memang bersemangat.

“Sebagai rakyat, kami sentiasa mendoakan agar Malaysia terus aman, makmur dan selamat di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya.

Wan Jamaluddin Wan Mahmud, anggota ATM bersama ahli keluarganya.

Sementara itu, salah seorang anggota Tentera Darat Malaysia (ATM) yang bertugas, Wan Jamaluddin Wan Mahmud, 40, berkata, dia membawa semua ahli keluarganya ke Dataran Putrajaya bagi memberinya semangat untuk bertugas, selain pengalaman kepada anak-anak untuk melihat dia bertugas pada sambutan Hari Kebangsaan 2024.

“Saya dah banyak kali ikuti program sebegini setiap tahun semasa berkhidmat di kem Sungai Besi dan kini di Kuala Lipis.

“Kami semua tiba sini lebih kurang pukul 3 pagi tapi memang sukar nak masuk. Alhamdulilah anak dan isteri semuanya baik dan memahani tugasan saya hari ini.

“Walaupun saya tulang belakang keluarga, bila ada kehadiran mereka sebagai penyokong, lagi kita bersemangat,” katanya.

Manakala isterinya, Norakma Izatul Arifin berkata, dia tidak kisah untuk bersengkang mata pada awal pagi demi menemani suami tercinta bertugas.

“Saya sudah biasa situasi ini tapi kita datang semangat dekat suami dan tunjuk pada anak-anak macam mana ayah mereka ini bekerja dan perlu bangun awal pagi,” jelasnya.

Terdahulu, lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2024.- MalaysiaGazette