Operasi SAR mencari dan menyelamat seorang mangsa wanita warganegara India di tanah jerlus telah memasuki hari kelapan di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 30 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Selepas sembilan hari menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang terjatuh dalam tanah jerlus di Masjid India, kerja-kerja itu dihentikan serta-merta hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mempertimbangkan faktor keselamatan pasukan operasi yang melakukan misi pencarian sepanjang sembilan hari sebelum ini.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat selepas mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak yang terlibat dalam operasi termasuklah pasukan bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Indah Water Konsortium (IWK), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pakar geologi.

Dr Zaliha Mustafa

“Keputusan kita ambil rentetan laporan yang saya telah laporkan kepada Jemaah Menteri tentang peristiwa yang berlaku dan keputusan diambil untuk kita mendapat pandangan daripada pakar sebelum ambil apa-apa keputusan.

“Ada beberapa perkara daripada dapatan-dapatan yang dikemukakan termasuk pihak yang berada di lokasi khususnya bomba yang mengetuai SAR. Yang agak memberi kesan apabila kita diberitahu ada objek dalam saluran Indah Water Konsortium (IWK).

“Walaupun objek itu tidak menunjukkan/mengesahkan mangsa, tapi apa pun disebabkan kita tidak boleh teruskan sebab atas keselamatan  anggota pasukan yang turun ke bawah kerana kemungkinan arus deras boleh membahayakan keselamatan anggota dan sebagai contoh mendapan kedua yang boleh membahayakan pasukan.

“Kedua keselamatan kawasan juga kita perlu ambil kita, (takut ada mendapan) lagi. Ini merisaukan kita. Ketiga kita perlu segera meneruskan aktiviti di sini,” katanya ketika sidang media di Jalan Masjid India, hari ini.

Pasukan SAR bertungkus-lumus mengesan wanita warga India yang terjatuh ke dalam lubang pada 23 Ogos lalu di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 30 OGOS 2024.

Mengulas lanjut Zaleha berkata, operasi di kawasan itu kini memasuki fasa ‘Search and Recovery” yang akan diselia oleh Polis Diraja Maalysia (PDRM).

Tambah beliau, dalam masa yang sama DBKL juga akan melakukan pemetaan utiliti, kajian struktur tanah dan mengadakan pertemuan dengan pada peniaga di sekitar kawasan Masjid India.

“DBKL sendiri akan melakukan pemetaan utiliti, kajian struktur tanah seluruh tanah, kita juga perlu kepada engagement dengan para peniaga untuk meneruskan aktiviti.

“Kkita juga minta DBKL melakukan pemulihan jalan sehingga ke Pasar Raya Mydin,” jelasnya.

Zaliha berkata, laporan penuh operasi SAR akan dibentangkan Jemaah Menteri.

Vijaya Lakshmi, 48, terjatuh dalam lubang yang tiba-tiba runtuh di Jalan Masjid India pada 23 Ogos  lalu.

Ketika kejadian, mangsa dilaporkan dalam perjalanan untuk ke kuil.

Susulan kejadian itu, pasukan SAR yang dibentuk telah melakukan pelbagai kaedah termasuk operasi menyelam oleh anggota bomba, juga menggunakan alat pengesan bawah tanah (GPR) dan kaedah ‘push rod’ iaitu memasukkan kamera ke paip pembentungan, kaedah crawler.

Namun, sehingga hari ini, operasi berkenaan gagal mengesan wanita berkenaan. -MalaysiaGazette