Seekor lembu mati selepas dilanggar sebuah kereta dalam nahas melibatkan lima kederaan di Jalan Renggam-Simpang Renggam, Kluang, hari ini.

KLUANG – Seorang pekerja bengkel maut selepas sebuah kereta melanggar lembu melintas dalam nahas lima kenderaan di Kilometer 24, Jalan Renggam-Simpang Renggam dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pada pukul 6.28 pagi itu turut mengakibatkan enam mangsa yang lain cedera.

Beliau memberitahu, kemalangan tersebut melibatkan kereta Proton Saga dan empat motosikal jenis Vespa Sprint Scooter, Vespa Super, Vespa Sprint dan Yamaha Y15ZR.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati Proton Saga datang dari arah Renggam menghala ke Simpang Renggam dan empat motosikal terbabit dari Simpang Renggam menghala ke Renggam.

“Tiba di tempat kejadian, seekor lembu telah melintas jalan dan Proton Saga itu melanggar lembu tersebut lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Vespa Sprint Scooter.

“Sementara Vespa Sprint, Vepsa Super dan Yamaha Y15ZR telah terlanggar bangkai lembu yang dilanggar Proton Saga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, akibat pelanggaran itu, penunggang Vespa Sprint Scooter, Muhamad Ammar Ibrahim, 24, beralamat di Benut, Pontian dan bekerja di bengkel kereta mengalami cedera parah di kepala badan.

Mangsa katanya, meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Proton Saga, 34, sakit di bahagian dada dan penumpang depan iaitu anaknya, 15, mengalami pendarahan dalam kepala.

Penunggang Vespa Sprint, 23, mengalami pendarahan dalam kepala dan luka di kaki kiri manakala penunggang Vespa Super, 25, sakit di bahagian badan, paha serta lutut kiri.

“Penunggang Yamaha Y15ZR, 18, pula sakit di bahagian badan dan kaki kiri sementara pemboncengnya, 16, sakit di bahagian badan dan kaki kanan,” katanya.

Menurutnya, semua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini dan kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- MalaysiaGazette