isu 3R kerajaan tebuk atap
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi membidas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris yang meminta beliau mendesak kerajaan hari ini menghapuskan Akta Hasutan 1948.

Menurut Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu, beliau tidak perlu berbuat demikian malah menyokong supaya akta tersebut dikekalkan.

Jelas beliau, akta itu masih diperlukan kerana penting untuk mencegah politik toksik yang menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) daripada terus berleluasa.

“Razali Idris selaku Ketua Penerangan Bersatu membidas saya. Kata beliau “Jangan tanya mengapa Muhyiddin tidak hapuskan Akta Hasutan.”

“Menurutnya saya yang sepatutnya mendesak kerajaan hari ini supaya bawa usul untuk hapus Akta Hasutan 1948.

“Saya tidak perlu berbuat demikian. Saya sokong Akta Hasutan kekal. Ia masih perlu. Ia penting untuk cegah politik toksik 3R berleluasa,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Menurut Mohd. Puad, setelah 67 tahun Malaysia merdeka, masih ramai pemimpin politik belum bebas daripada politik 3R.

Beliau mengambil contoh dalam isu membabitkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

“Saya menentang kuat ISA. Kerana ia menahan orang tanpa bicara. UMNO telah hapuskannya. Tetapi Akta Hasutan ada perbicaraan. Ia tidak zalim.

“Muhyiddin yang dakwa akta itu zalim. Sebab itu saya tanya kenapa tidak hapus semasa dia PM ke-8. Itu salah Muhyiddin dan Razali,” katanya.

Rabu lalu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) didakwa di Mahkamah Sesyen, Gua Musang, Kelantan, atas pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut di Felda Perasu, 14 Ogos lalu.

Bekas Perdana Menteri itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muhyiddin bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri. – MalaysiaGazette