Angkatan Tentera Malaysia melakukan persiapan sebelum memulakan perarakan pada Sambutan Hari Kebangsaan 2024 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ di Dataran Putra, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 31 OGOS 2024.

PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 dengan tema ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ bakal berlangsung di Dataran Putrajaya di sini untuk tontonan rakyat bermula 8 pagi ini.

Setiap tahun rakyat tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama pasti berhimpun untuk tujuan yang sama iaitu menyemarakkan semangat patriotik.

Sambutan tahun ini diserikan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah selain kehadiran barisan Jemaah Menteri serta perwakilan asing.

Pasukan Simpanan ATM melakukan persiapan sebelum memulakan perarakan pada Sambutan Hari Kebangsaan 2024 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ di Dataran Putra, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 31 OGOS 2024.

Sambutan kemuncak itu menyajikan perbarisan dan perarakan melibatkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam serta 439 aset ketenteraan.

Antara kelainan sambutan kali ini ialah perbarisan Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI yang diterajui Kementerian Perpaduan Negara dengan memperagakan pakaian etnik lengkap beraksesori bagi melambangkan kepelbagaian budaya masyarakat di negara ini.

Keunikan kontinjen itu ditonjolkan melalui alatan dan persembahan khas sebagai simbolik perpaduan masyarakat antaranya kumpulan kompang, chingay, tarian naga dan singa, tarian merak, perarakan kuda serta pahlawan Bajau sekali gus mewarnai sambutan kali ini.

Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia melakukan persiapan sebelum memulakan perarakan pada Sambutan Hari Kebangsaan 2024 bertemakan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ di Dataran Putra, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 31 OGOS 2024.

Selain itu, kekuatan aset pelbagai agensi antaranya Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim turut ditonjolkan bagi mencerminkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam menjaga kedaulatan negara.

Persembahan tarian bertajuk ‘Cuci Rasuah’ turut dipersembah sebagai penutup tirai majlis yang mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan membanteras gejala rasuah. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast