Lee Lam Thye
Tan Sri Lee Lam Thye.. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 04 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mencegah dan meramal risiko insiden tanah jerlus dan pemendapan tanah dari masa ke masa.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pemantauan serius perlu dilakukan termasuk menggunakan teknologi canggih.

Menurut beliau, langkah keselamatan yang menyeluruh perlu membabitkan tinjauan geologi yang dikemas kini terhadap kawasan yang terjejas dengan penggunaan sistem pemantauan masa realistik.

Seitem tersebut mampu menjejaki perubahan dalam kestabilan tanah serta paras air perlu ada untuk diakses pada setiap masa

“Memahami keadaan tanah dan batuan asas akan membantu untuk meramal dan mencegah insiden tanah jerlus pada masa hadapan serta risiko kejadian di tempat bahaya yang lain.

“Teknologi seperti radar penembusan tanah perlu ada kerana Jabatan Mineral dan Geosains telah pun memulakan penggunaan teknologi di Jalan Masjid India dan pengesan ini boleh memberikan tanda amaran awal tentang tindak balas yang wujud di bawah permukaan.

“Malah, semakan berkala dan menaik taraf sistem perparitan sedia ada serta elemen infrastruktur lain yang mungkin menyumbang kepada ketidakstabilan tanah dan memastikan pembinaan mengikut piawaian kejuruteraan moden,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, masyarakat juga harus dibabitkan dalam mencegah risiko melalui program pendidikan mengenai tanah jerlus dari segi punca ia berlaku dan bagaimana untuk melaporkan sekiranya ada pergerakan tanah yang mencurigakan.

“Langkah ini dapat memastikan penduduk yang telah dididik dengan pengetahuan ini dapat memberi maklumat sekaligus membantu memupuk budaya kesiapsagaan,” katanya.

Beliau turut menyarankan perkongsian pengetahuan dan sumber antara kerajaan tempatan, pakar kejuruteraan dan organisasi komuniti.

Tegasnya, usaha bersama boleh membawa kepada penyelesaian yang lebih berkesan.

“Saluran tetap untuk memberikan maklum balas daripada masyarakat yang berterusan mengenai kebimbangan tentang keselamatan boleh meningkatkan kecekapan tindak balas daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya.-MalaysiaGazette