Persatuan Ulama Malaysia

KUALA LUMPUR –  Tindakan mengkritik dan menyalahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) dilihat mahu menaik dan memberi merit kepada golongan tertentu sahaja yang dianggap membongkar isu berkaitan syarikat tersebut.

Tindakan pihak berkenaan adalah tidak wajar dan dan tidak bijak kerana sebagai penyelaras hal ehwal agama, Jakim telah banyak terlibat dalam usaha-usaha bagi memastikan GISB ini tidak melanggar sebarang bentuk peraturan dan undang-undang yang ada dalam negara.

Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr. Mohd Roslan Mohd Nor berkata, sudah tentu Jakim perlu bertindak dengan agensi-agensi lain mengikut fungsinya, terutama agensi yang diberikan kuasa penguatkuasaan.

Lagipun, semua agensi perlu bertindak dalam ruang lingkup dan bidang kuasa masing-masing.

“Sehubungan itu, PUM sangat tidak bersetuju untuk menyalahkan mahupun meremehkan usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak Jakim dalam menangani isu GISB tersebut.

“Tindakan mengkritik usaha yang dilakukan oleh Jakim hanya akan mengeruhkan suasana dan tidak sedikit pun membantu dalam menangani isu ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

PUM berharap Jakim dapat meneruskan fungsinya serta menjadi agensi utama yang dipercayai masyarakat dalam mendepani cabaran yang dihadapi oleh umat Islam di Malaysia.

Tambahnya, rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk bersama-sama membantu dan berusaha agar segala bentuk amalan tidak tepat dengan syariat Islam dan peraturan di Malaysia ini dapat ditangani sebaiknya melalui penyelarasan di peringkat Persekutuan oleh Jakim dan diambil tindakan sewajarnya pihak berkuasa agama di negeri-negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast