Pasukan SAR mencari mangsa selepas sebuah lori kontena di dermaga Pelabuhan Barat, terjatuh dalam laut hari ini.- Gambar ihsan Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki hilang dalam satu insiden kemalangan membabitkan sebuah lori di dermaga Pelabuhan Barat dilaporkan terjatuh ke laut dekat Klang hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, bilik operasi negeri menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu sekitar 12.42 tengah hari tadi.

Bertindak atas panggilan itu, sepasukan empat pegawai dan anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulau Indah digerakkan ke lokasi kejadian dengan dibantu 16 anggota BBP Pelabuhan Barat serta BBP Shah Alam bersama sebuah bot.

“Siasatan di lokasi mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori di dermaga pelabuhan itu terjatuh ke dalam laut,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian itu, seorang mangsa warga tempatan, Mohd Hafiz Abdul Salam, 24, yang berada dalam lori kontena berkenaan turut terjatuh di laut.

Tambah Wan Md Razali, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan oleh empat anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat di Pelabuhan Klang.

Bagaimanapun sehingga kini mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian mangsa telah diperluaskan.

“Operasi menyelamat ini turut mendapat bantuan Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama dua bot,” ujarnya. – MalaysiaGazette