Majlis Pecah Tanah Projek Rumah MADANI, Suria Madani oleh Perdana Menteri di Taman Desa, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 29 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok meminta kerajaan supaya mengkaji semula cadangan pembangunan projek Perumahan Madani di Kuala Lumpur kerana kawasannya yang sudah begitu padat.

Katanya, projek perumahan Madani patut dikembangkan ke kawasan Greater KL yang merangkumi majlis perbandaran seperti Sepang, Putrajaya, Ampang Jaya, Shah Alam, Selayang, Petaling Jaya, Subang Jaya, Kajang dan Klang.

Jelas beliau, ini akan memberi lebih banyak manfaat kepada golongan berpendapatan rendah yang perlu membeli rumah murah.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok

“Komitmen Perdana Menteri untuk membantu golongan berpendapatan rendah adalah sangat baik, tetapi kebimbangan penduduk setempat juga perlu diambil kira.

“YAB PM mungkin tidak sepenuhnya memahami demografi Taman Desa. Ramai penduduk di Taman Desa adalah penduduk berpendapatan sederhana, dan sebahagian daripada mereka tergolong dalam kumpulan B40, yang tinggal di pangsapuri kos rendah seperti Pangsapuri Teratak, Pangsapuri Sri Lempah, dan Pangsapuri Iris.

“Golongan B40 dan M40 ini juga menentang pembangunan tersebut, kerana bimbang dengan kepadatan kawasan dan kekurangan infrastruktur sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada projek Suria Madani di Taman Desa, Kuala Lumpur yang mana majlis pecah tanah projek berkenaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2024/08/29/jangan-sesekali-abaikan-kepentingan-majoriti-rakyat-pm/

Tambah Teresa, Projek Perumahan Madani yang perlu disubsidi daripada perumahan mewah juga bakal menyebabkan wujud pembangunan dengan kepadatan tinggi.

Ini sekali gus menjejaskan keperluan yang lebih penting seperti taman rekreasi dan penahanan banjir.

Keadaan itu juga menurut beliau akan memburukkan kesesakan bandar serta memberi cabaran untuk mengekalkan kelestarian alam sekitar.

“Saya menyokong inisiatif Perumahan Madani yang bertujuan menyediakan perumahan mampu milik untuk golongan miskin.

“Walau bagaimanapun, pembangunan harus dirancang dengan teliti dengan infrastruktur dan perkhidmatan sokongan yang mencukupi.

“Pembangunan yang tidak teratur akan memburukkan isu seperti kesesakan lalu lintas, sekolah yang padat, kemudahan kesihatan yang tidak mencukupi, dan kekurangan tempat letak kereta,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette