Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Sidang media minggu depan yang dirancang Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berkait kes culik dan pemerasan oleh sindiket pemerdagangan manusia minggu dibatalkan pada saat akhir.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ia kerana bapa mangsa yang tidak tahan anaknya dipukul dan diseksa oleh sindiket di Myanmar telah membayar wang tebusan baru-baru ini.

“Sepatutnya kita buat sidang media Selasa ini dengan keluarga mangsa kerana mereka mengadu kepada MHO. Difahamkan mangsa itu telah diculik sebelum diseludup ke negara lain. Dia dipercayai telah dipukul selain sindiket itu mengugut keluarga itu untuk membayar tebusan RM100,000 atau anaknya akan dibawa ke negara lain pula.

“Gambar anaknya dipukul juga telah dihantar kepada keluarga mangsa. Gambar itu juga menunjukkan mangsa dalam keadaan takut selain terdapat kesan lebam pada bahagian mukanya.

“Tapi sebentar tadi, bapa mangsa telah memaklumkan kepada pihak kita dia telah bayar tebusan itu kerana tidak sanggup sindiket untuk mengapa-apakan anaknya lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Hishamuddin, sejurus selepas bayaran tebusan dibuat, mangsa telah dibebaskan.

Dalam pada itu, menurutnya, ada juga mangsa pemerdagangan manusia dihantar pulang selepas tebusan diterima dan pernah ada kes mangsa di bawa ke lokasi lain.

“Kita harap mangsa pulang dengan keadaan selamat dan berhati-hati selepas ini. Sudah tentu ada kes-kes yang mana keluarga tidak sanggup ahli keluarga mereka diseksa maka akan membayar tebusan, ada juga tidak berkemampuan,” ujarnya. -MalaysiaGazette