KUALA LUMPUR – “Mana mungkin sebuah negeri yang dikuasai oleh parti yang membenci kestabilan politik serta kejayaan dikecapi oleh kerajaan hari ini mampu memberikan kemenangan untuk kita di DUN (Dewan Undangan Negeri) Nenggiri?”
Itulah antara persoalan yang dibangkitkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di hadapan lebih 1,000 perwakilan pada Perhimpunan Agung myPPP ke-71 di sini hari ini.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, PRK Nenggiri telah berjaya mengubah landskap ‘kebencian’ itu dengan kemenangan besar bagi calon BN baru-baru ini.
“BN memang sentiasa berdepan dengan pelbagai ujian apatah lagi menang dan kalah ini sudah jadi lumrah tetapi semangat cekal dan setiakawan itulah yang telah memberikan kejayaan kepada kita hari ini.
“Negeri yang dikuasai oleh sebuah parti penuh kebencian, apa sahaja termasuklah kejayaan di semua peringkat termasuk menempa nama di arena antarabangsa, kestabilan politik semuanya dibenci namun rakyat telah berikan kita.
“Semangat inilah yang kita mahu untuk PRK seterusnya di DUN Mahkota pada September ini. Saya ada keyakinan tinggi kejayaan besar mampu kita capai di DUN N29 ini kelak,” katanya.
Ahmad Zahid juga mengimbau saat-saat bagaimana gabungan BN hampir-hampir menjadi tidak relevan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.
Senario itu hampir menjadi kenyataan andai Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bergabung untuk membentuk kerajaan ketika itu.
“Ketika itu, PH ada 82 (kerusi) manakala PN (73 kerusi) dan titah Agong supaya kerajaan perpaduan diwujudkan. Jika PH campur 73 (PN) maka 155 kerusi diperoleh di Parlimen melebihi majoriti dua pertiga yang hanya memerlukan 148 kerusi.
“Kalau kombinasi PH dan PN bentuk kerajaan maka BN sudah tidak relevan lagi dalam situasi politik ketika ini,” katanya.
Kerana itu juga, Ahmad Zahid memberikan peringatan kepada semua pimpinan BN supaya tidak sesekali teruja dengan kemuncak kuasa yang hakikatnya bukan milik peribadi sebaliknya hak parti dan rakyat di negara ini.
“Kita ditampar dengan sekali dalam sejarah politik tanah air pada 2018. Ketika itu saya mengambil alih dalam keadaan UMNO dan BN kehilangan segalanya, bukan hanya kerajaan tetapi semua hak dan milik secara perundangan malah aset UMNO telah tidak diiktiraf milik parti.
“Lebih 10 pemimpin diheret ke mahkamah dengan tuduhan sengaja dibuat dengan saksi pendakwaan juga tidak berwibawa.
“Ketika itu, pemimpin terbabit seorang diri, dalam keadaan susah dan tiada pengikut ketika mereka menoleh ke belakang. Bila keadaan susah, terpaksa jalan melihat lantai. Namun apabila keadaan senang, kita melihat ramai pula ‘tukang kipas’,” tegasnya.
Ahmad Zahid berkata, rakan akan sentiasa ada apabila berada dalam keadaan senang umpama cuaca.
“Apabila cuaca tenang, mereka akan jadi rakan. Bila mendung, rakan tiada lagi pergi begitu sahaja. Kembali bila perlu. Tapi apa paling penting adalah kesetiaan kita sebagai ahli parti mesti terus dihargai,” ujarnya. – MalaysiaGazette