KUALA LUMPUR – Selepas dikritik supaya tidak bermimpi di siang hari mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari membalas kritikan yang dilemparkan itu.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mempersoalkan berapa kerusi dikuasai UMNO di Terengganu, Kedah dan Perlis.
“Mentang-mentang Pas tak menang di Sabah, Datuk (Puad Zarkashi) kata Pas mimpi di siang hari.
“Habis tu, berapa kerusi UMNO ada di Terengganu, Kedah dan Perlis? Berapa kerusi UMNO ada di Kelantan, sekadar cukup untuk batu nisan kan?
“Di Selangor dan Pulau Pinang, berapa kerusi UMNO ada dalam kerajaan? Di semua negeri itu terutama di negeri yang UMNO tidak langsung kerusi, adakah UMNO sedang mengigau?,” katanya membidas kenyataan Puad.
Ahmad Fadhli berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi yang berkata parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu usah bermimpi untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada PRN kelak.
“Hadi kata Pas perlu tawan Sabah jika mahu memerdekakan negara.
“Kalau begitu Pas hanya bermimpi di siang hari. Pas sukar menang walaupun satu kerusi di Sabah,” kata Puad pagi tadi.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli menyatakan beliau tidak gemar untuk melakukan sebarang konfrontasi dengan mana-mana ahli UMNO.
Malah katanya, tujuan kenyataan balas ini dilakukan hanya untuk ditujukan kepada Puad semata-mata.
“Saya minta maaf sekiranya terkasar bahasa tetapi jika beliau yang memulakan terlebih dahulu apa salahnya kan?” katanya lagi. – MalaysiGazette