Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bercakap pada sidang media mengenai Conference on ASEAN Road Safety (CARS) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 2 SEPTEMBER 2024

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan sedang menunggu laporan lengkap daripada Malaysia Airlines Berhad (MAB) berhubung masalah teknikal membabitkan pesawatnya ke Seoul, Korea Selatan awal pagi tadi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan telah berhubung dengan syarikat penerbangan tersebut bagi mendapatkan penjelasan mengenainya.

“MAS akan buat kenyataan dan saya telah berhubung dengan mereka. Kita tunggu laporan lengkap berkenaan masalah teknikal tersebut dan saya telah meminta pihak MAS membuat kenyataan tentang perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (Kereta) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Awal pagi tadi, media melaporkan sebuah lagi pesawat Malaysia Airlines ke Seoul, Korea Selatan dipercayai mengalami masalah teknikal sehingga terpaksa berpatah balik ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Aplikasi penjejak penerbangan global, Flight Radar24 menunjukkan MH66 berlepas dari Terminal 1 KLIA 1 pukul 12.01 tengah malam tadi ke Seoul, Korea Selatan berbanding jadual asalnya jam 11.30 malam.

Ia kemudiannya berpatah balik dan selamat mendarat pukul 12.34 tengah malam.

Difahamkan, pesawat tersebut mengalami masalah teknikal.

Sehingga kini, pihak media masih menanti kenyataan dikeluarkan oleh MAB.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bergambar kenangan selepas merasmikan Conference on ASEAN Road Safety (CARS) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 2 SEPTEMBER 2024

Minggu lalu, Anthony mendedahkan masalah komponen mekanikal merupakan antara isu signifikan yang menyumbang kepada beberapa insiden teknikal membabitkan pesawat MAB seperti dilaporkan sejak akhir-akhir ini.

Selain itu, syarikat yang bertanggungjawab menyelenggara pesawat MAB, MAB Engineering Services (MABES) juga didapati kekurangan pekerja mahir.

Sebelum ini dilaporkan beberapa insiden serupa berlaku membabitkan penerbangan Malaysia Airlines.

Antaranya, MH156 yang dalam perjalanan ke Jeddah pada 4 Ogos lalu terpaksa berpatah balik ke KLIA 1 susulan masalah teknikal.

Dua minggu lalu, MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur pada 19 Ogos turut terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Alice Springs akibat masalah enjin di udara.

Pada 24 Jun, MH780 yang dalam penerbangan ke Bangkok juga berpatah balik ke KLIA selepas mengalami masalah tekanan udara.

Sementara, pada 20 Jun, MH199 yang menuju ke Kuala Lumpur dari Hyderabad terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi pada 3.21 pagi waktu tempatan, disebabkan masalah enjin. – MalaysiaGazette