KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran hari ini mengingatkan ahli parti itu tentang sejarah dan jasa pemimpinannya.
Katanya, MIC bermula di sebuah pondok kecil diasaskan John Tivy dengan misi visi memperjuangkan kebajikan dan kepentingan kaum India pada 1946.
Kini tambah beliau, ia menjadi sebuah parti yang mampu berdiri sendiri.
“Hari ini kita tidak ada pun apa-apa jawatan atau kuasa dalam kerajaan seperti dulu namun bukankah kita terus berdiri megah? Dari sebuah pondok kecil kini sudah kekuataan memiliki bangunan besar yang bakal jadi mercu tanda kita? Kita relevan di pentas politik perdana hari ini.
“Ini bukan parti kacang putih sebaliknya sebuah parti yang mempunyai kekuataan luar biasa dalam menjuarai kebajikan komuniti kita sekaligus menjaga kaum-kaum lain juga selama ini.
“Mengapa ada kegusaran dan persoalan dalam kalangan kita tentang kemampuan kita? Hari ini parti-parti politik di luar yang pernah mencerca, mengkritik MIC akhirnya apabila memegang tampuk kuasa mengakui serta mengiktiraf kita, jadi mengapa kita termangu-mangu?,” katanya.
Beliau berkata demikian ketikamenyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung MIC ke-78 di di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam di hadapan kira-kira 2,500 perwakilan, hari ini.
Kata Vigneswaran, MIC sudah melalui sejarah hitam dan cabaran sejak 2008 hingga Pilihan Raya Umum (PRU-15) namun pada hari ini umum mengetahui kepentingan dan jasa MIC kepada masyarakat.
“Hakikatnya, sehingga saat ini MIC tetap hidup dengan maruah, agenda kita amat jelas. Banyak yang telah kita pelajari daripada segala cabaran kita lalui, MIC adalah sebuah parti berpandangan jauh dengan visi dan misi berpaksikan kebajikan serta kepentingan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Vigneswaran yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Negara menyentuh tentang pemilihan parti itu yang menyaksikan kekalahan beberapa pemimpinan utama.
“Ada juga tuduh saya tapi saya ingin ingatkan anda semua, saya percaya kepada kemenangan secara demokrasi dan itulah yang terjadi. Pada saya, sesiapa yang mampu berkhidmat kepada masyarakat, saya akan terima masuk.
“Kerana itu juga, saya undang balik semua yang pernah tinggalkan parti ini untuk kembali, antaranya Datuk Sivaraj yang kini sudah kembali ke pangkuan MIC,” katanya. – MalaysiaGazette