Farah Nini Dusuki

KUALA LUMPUR – Media perlu memainkan peranan dengan lebih bertanggungjawab dalam melaporkan isu-isu yang melibatkan kanak-kanak dengan mengutamakan privasi, hak dan keselamatan mereka.

Pesuruhjaya Kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Dr Farah Nini Dusuki berkata, isu keselamatan kanak-kanak semakin mendapat perhatian berikutan beberapa kes baru-baru ini yang melibatkan penderaan, penculikan, dan pengabaian yang disiarkan secara meluas oleh media.

“Kita perlu melihat kepentingan baik kanak-kanak sebagai kepentingan utama,

“Pelaporan berita boleh dibuat tetapi harus berlandaskan syarat-syarat tertentu, kalau tidak ia akan melibatkan perundangan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat suruhanjaya itu, di sini, hari ini.

Menurut Farah, laporan media yang tidak beretika mengenai kanak-kanak boleh memberi kesan negatif yang mendalam terhadap kesejahteraan emosi dan keselamatan mereka kerana stigma yang wujud dalam masyarakat.

Selain itu, tambah beliau, pelaporan dan penyiaran identiti kanak-kanak bukan sahaja boleh menimbulkan kesan yang mendalam kepada mereka tetapi juga kepada  keluarga, dan masyarakat.

Kanak-kanak yang dilaporkan sering kali terpaksa menghadapi stigma negatif seperti penjenayah atau pesalah yang boleh mempengaruhi persepsi rakan sebaya dan masyarakat serta menimbulkan trauma, ujarnya.

Katanya, apabila identiti kanak-kanak terdedah di media, proses pemulihan mereka menjadi lebih sukar kerana menghadapi banyak halangan untuk diterima semula dalam masyarakat.

Sementara itu, beliau meminta media dan masyarakat agar lebih peka terhadap hak kanak-kanak dan tidak menjadikan mereka mangsa dalam laporan atau penyiaran.

Katanya, identiti kanak-kanak yang terlibat dalam perundangan seperti isu kanak-kanak terlibat dalam perebutan hak penjagaan, keganasan rumah tangga, jenayah buli atau seksual berhak dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA).

Seksyen 15(2) Akta 611 melarang pihak media daripada melaporkan atau menyiarkan gambar kanak-kanak yang terlibat dalam perundangan, yang dilindungi dan berada dalam pemulihan, atau yang bertindak di luar kawalan, dalam mana-mana tahap kes sekali pun.

Seksyen 15(3) Akta 611 menyatakan bahawa pelanggaran kepada peruntukan Seksyen 15(2) merupakan satu kesalahan jenayah, yang boleh dihukum dengan denda sehingga RM10,000, penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.  – MalaysiaGazette.