Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohamad Puad Zarkashi.-Foto AMIRUL SHAUFIQ, 10 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pas dinasihatkan tidak bermimpi di siang hari  untuk menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kelak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi berkata parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu dilihat sukar untuk memenangi satu pun kerusi DUN pada PRN berkenaan.

“Lagi pun apa sebenarnya yang Pas mahu merdekakan?

“Pas sendiri tidak mampu memerdekakan partinya daripada amalan politik toksik, politik melabel lawan dengan gelaran “dajal”, “anti Islam” dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Puad berkata demikian mengulas kenyataan Abdul Hadi yang memberikan bayangan akan kembali bertanding dalam PRN Sabah yang akan datang selepas tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Bagaimanapun, Abdul Hadi menyerahkan kepada Pas Sabah untuk mengatakan jumlah kerusi yang bakal ditandingi parti itu.

Dalam pada itu, Puad berkata Pas adalah parti ‘penjajah’ pemikiran politik agama yang mundur.

Jelasnya, penjajah itu sudah berlaku terlalu lama dan mencengkam parti tersebut.

“Seolah-olah Pas itu Islam dan Islam itu Pas. Rakyat perlu dimerdekakan daripada penjajahan politik agama yang menyesatkan ini,” katanya lagi.

Sebelum itu, pada PRU15 yang lalu Pas Sabah tidak meletakkan calon seperti kebiasaannya susulan keputusan untuk memberi laluan kepada rakan gabungan PN Sabah.

Untuk rekod, DUN Sabah akan terbubar secara automatik Oktober tahun depan, dengan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. – MalaysiaGazett