Setiausaha Eksekutif SG4, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bercakap kepada wartawan ketika sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak SG4 di Bangi, Selangor. Foto SADIQ SANI, 2 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Sokongan kepada kerajaan sehingga pembubaran Parlimen antara tujuh syarat yang dimasukkan ke dalam memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Perkara itu didedahkan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menambah, antara syarat lain termasuk Ahli Parlimen pembangkang perlu mengisytiharkan harta serta tidak menyentuh isu berkaitan 3R (agama, kaum dan raja).

Sambil menyifatkan syarat yang dikenakan itu sebagai pelik, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, PN akan meneliti kandungan memorandum tersebut dan membuat keputusan sebelum sidang Parlimen bulan depan.

“Kita rasa agak pelik sedikit sebab (ini) memorandum persefahaman untuk peruntukan wajib kepada Ahli Parlimen, tetapi ada tujuh obligasi (tanggunjawab) kepada pembangkang.

“Malah ada sebut pengisytiharan harta, kita pun tak faham kenapa Ahli Parlimen bukan kerajaan kena isytihar harta.

“Sedangkan ia hanya perlu melibatkan anggota pentadbiran sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sidang Kemuncak Empat Kerajaan Negeri (SG4) di Bangi, dekat sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak pembangkang berhubung draf memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Pada 9 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan isu agihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak seharusnya menjadi isu rumit untuk diselesaikan.

Beliau berkata, syarat ditetapkan kepada mana-mana Ahli Parlimen pembangkang yang mahu memperoleh peruntukan adalah syarat asas dan proses biasa dalam mana-mana rundingan serta amalan demokrasi.

Draf MoU berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang antara lain akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast