SHAH ALAM – Selain komited memenuhi cita rasa Malaysia, Maggi sebagai pengeluar mi segera yang cukup dikenali sentiasa memastikan kualiti semua produk keluarannya terjaga sejak 1971.
Bukan itu sahaja, pada masa yang sama Maggi juga memastikan peluang pekerjaan di setiap kilangnya mengutamakan rakyat Malaysia.
Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi Malaysia dan Singapura, Ivy Tan Link Cheh berkata, 100 peratus pekerja di kilang yang terletak di Batu Tiga, di sini, merupakan warga tempatan.
“Kilang di sini terdiri daripada seramai 1,000 pekerja merangkumi operator, juruteknik, pemandu forklift dan pasukan jaminan kualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika ditemui di Program Lawatan Media Ke Kilang Nestle Batu Tiga, di sini hari ini.
Jelasnya, meskipun produk keluaran Maggi dieksport ke lebih 20 negara luar namun mereka memastikan proses pengeluaran sentiasa mengutamakan bahan dan sumber tempatan.
“Produk Maggi dieksport ke seluruh dunia termasuk Asia Tenggara, Australia, United Kingdim dan Korea Selatan,” ujarnya.
Selama lebih 50 tahun, kilang Maggi di Batu Tiga menjadi tonggak Utama operasi produk Nestle dalam negara.
“Kilang di Batu Tiga baru-baru ini telah diperluas dan dilengkapi dengan keupayaan pengeluaran yang dipertingkatkan untuk memenuhi kecintaan akyat Malaysia terhadap mi segera, perisa dan produk yang lain.
“Di kilang ini pihak kami membangunkan sendiri sistem pembuatan digital (DMO) untuk mengendalikan kerumitan di Logi Kuliner yang mempunyai jumlah besar bahan-bahan dan resepi,” tambahnya.
Katanya, sehingga kini Maggi mempunyai dua kilang di Kuching dan di Batu Tiga, Shah Alam.
Menurutnya, setiap hari kilang berkenaan menghasilkan 2.5 juta pek Mi Maggi 2-Minit yang sangat mendapat sambutan.
Antara mi segera lain di bawah jenamanya adalah Big Kari, Big Tom Yam, Pedas Giler dan banyak lagi produk perasa yang lain. -MalaysiaGazette