NIBONG TEBAL – Seorang wanita tempatan kerugian RM489,550 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan telefon atau Macau Scam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, mangsa berusia 39 tahun yang bekerja di sebuah syarikat swasta itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mengaku sebagai pegawai polis pada 17 Februari lalu.
Jelasnya, suspek mendakwa wanita itu terlibat dalam satu kes jenayah dan perlu membuat bayaran untuk menyelesaikan siasatan yang kononnya sedang dijalankan ke atasnya.
“Suspek turut mengugut mangsa supaya tidak memaklumkan perkara itu kepada sesiapa dan akibat panik, mangsa melakukan sebanyak 47 transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke 13 akaun bank berbeza berjumlah RM256,550.
“Mangsa turut membuat 12 transaksi deposit wang tunai melalui mesin deposit tunai (CDM) ke dalam empat akaun bank berbeza melibatkan jumlah RM233,000 dan secara keseluruhan transaksi berjumlah RM489,550.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas memaklumkan kejadian itu kepada adik lelakinya sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Bakap,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, January Siowou menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mendakwa sebagai pegawai polis, mahkamah atau mana-mana agensi penguat kuasa.
“Pihak berkuasa tidak akan meminta sebarang bayaran atau transaksi kewangan melalui panggilan telefon bagi menyelesaikan sebarang siasatan.
“Orang ramai yang menerima panggilan mencurigakan disarankan agar tidak panik dan segera membuat semakan dengan pihak polis atau menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya. – MalaysiaGazette














