cuepacs gaji
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap wakil-wakil kesatuan sekerja dilibatkan dalam Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pandangan daripada kakitangan yang boleh diwakili oleh kesatuan sekerja termasuk kongres itu perlu diambilkira sebelum sesuatu keputusan dilaksanakan.

“Sudah tentu langkah penubuhan sekretariat ini penting dalam merasionalisasi perkhidmatan seperti yang ditekankan dalam agenda reformasi perkhidmatan awam oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tetapi penekanan terhadap aspek kebajikan kakitangan sedia ada perlu juga diberikan keutamaan,” katanya menerusi kenyataan.

Perdana Menteri hari ini mengumumkan penubuhan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan bertujuan menangani isu pertindihan fungsi dan menjimatkan dana negara.

Sekretariat itu juga akan memastikan tiada pegawai awam menggunakan jawatan yang disandang untuk melakukan perbuatan curang selaras dengan usaha kerajaan melaksanakan reformasi perkhidmatan awam.

Mengulas lanjut, Adnan berharap perkara membabitkan kakitangan yang terlibat dalam pelan rasionalisasi tetap diberi keutamaan dan dipertahankan.

Sementara itu, beliau mahu penjawat awam semua peringkat menyahut seruan Anwar menjayakan usaha kerajaan melakukan reformasi dalam perkhidmatan awam bagi memberikan anjakan kepada kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya, semua pihak dalam perkhidmatan awam perlu melihat teguran berkenaan daripada aspek positif.

CUEPACS berharap semua ketua-ketua jabatan memberikan kerjasama penuh kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam merencana kerangka reformasi perkhidmatan awam.

“CUEPACS percaya usaha KSN dan KPPA dalam merencana kerangka reformasi lebih mudah dilakukan jika mendapat kerjasama daripada semua peringkat penjawat awam terutama daripada ketua-ketua jabatan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast