Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Dakwaan sebuah organisasi agama berkaitan ada penempatan pegawai Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) di jabatan kerajaan dan kementerian sehingga mengganggu penggubalan dasar tidak berasas.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, kenyataan dikeluarkan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) itu akan menyebabkan tercetusnya salah faham.

Katanya, tiada penempatan baharu membabitkan pegawai JAKIM di mana-mana jabatan atau kementerian setakat ini sebaliknya pegawai agensi yang ada di kementerian adalah mereka yang ditempatkan sejak dahulu.

“Ini sebenarnya adalah dasar yang dibuat pada tahun 2006, 2007 malah ada dalam kalangan ahli Jemaah Menteri yang menjadi sebahagian dalam Kabinet ketika itu.

“Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) sebagai contoh, beliau ada dalam Kabinet ketika itu dan mengingatkan Jemaah Menteri, waktu itu, itulah dasar yang diumumkan.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar juga memberi peringatan sehingga ke hari ini, tidak ada mana-mana kementerian yang mendapat penempatan pegawai JAKIM baharu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, MCCBCHST menyuarakan kebimbangan berhubung langkah kerajaan yang dikatakan menempatkan pegawai JAKIM di jabatan kerajaan.

Dakwanya, langkah sedemikian boleh menjejaskan hak asasi dan perlindungan yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kumpulan pengantara agama itu merujuk kepada laporan berita bulan lepas di mana Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), David Ong membangkitkan kebimbangan berhubung laporan bahawa pegawai JAKIM akan ditempatkan di setiap jabatan kerajaan bagi memastikan keputusan selari dengan prinsip Islam.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Perpaduan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berbincang dengan MCCBHST bagi mengelakkan salah faham mengenai isu berkenaan.

Katanya, pertemuan itu bagi mendengar pandangan MCCBHST dan menyatakan pendirian kerajaan.

“Sebaik mungkin isu-isu ini diurus dengan baik tanpa salah faham terutama bila penjelasan telah pun dibuat lebih kurang tiga minggu lalu,” tambahnya. – MalaysiaGazette