Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR –  Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO)  menyerahkan beberapa dokumen berkaitan kes pemerdagangan manusia di Myanmar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

Setiausahanya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya telah dipanggil ke Pejabat Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) pagi ini selepas pendedahan berhubung isu itu baru-baru ini.

Pihaknya juga telah menyerahkan dokumen dikeluarkan United State Institute of Peace yang mendedahkan penglibatan rakyat Malaysia dalam kes pemerdagangan manusia.

“Ini adalah rahsia terbuka dan telah ditulis dengan jelas. Dokumen itu kita serah polis untuk siasatan,” kata Hishamuddin.

Rabu lepas MalaysiaGazette membuat pendedahan laporan MHO kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang dakwaan wujudnya penglibatan aktif seorang ahli politik dengan kumpulan sindiket pemerdagangan manusia yang banyak terlibat dengan aktiviti-aktiviti jenayah di Myanmar.

Aduan itu susulan klip dari dokumentari YouTube Indonesia bertajuk Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia berdasarkan siasatan rentas sempadan itu antara lain menunjukkan gambar bekas timbalan menteri di negara ini bersama sekumpulan individu yang didakwa ada kaitan dengan sindiket itu.

Beberapa hari lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution memaklumkan polis telah membuka kertas siasatan terhadap ahli politik berkenaan susulan laporan media asing itu. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MHO terkejut ahli politik terlibat sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar

Pemerdagangan manusia babit ahli politik: 3 penulis artikel akan dipanggil polis