Dari kiri, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Panel Penasihat SG4, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud ketika menghadiri Sidang Kemuncak SG4 di Bangi, Selangor. Foto SADIQ SANI, 2 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Idea perkongsian hasil dan kekayaan empat negeri pembangkang menerusi penubuhan entiti korporat SG4 Group Sdn. Bhd. mencetuskan persoalan dan kebimbangan banyak pihak.

Antara isu yang dibangkitkan adalah berhubung ketidakadilan khususnya kepada negeri yang mempunyai hasil lebih tinggi tetapi perlu membahagikan kekayaan dimiliki sama rata dengan negeri lain.

Perkara sama dibangkitkan pengendali Facebook Greater Terengganu Development iaitu laman sosial popular yang memfokuskan kepada perbincangan ilmiah pembangunan infrastruktur dan ekonomi di Terengganu.

Menerusi catatan terbaharu di laman sosial itu, pengendalinya merayu kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu supaya tidak menerima cadangan penubuhan entiti korporat tersebut.

Katanya, kekayaan negeri itu jika dibahagikan sama rata, maka kemungkinan besar hasil bumi negeri Terengganu terpaksa diserahkan kepada negeri lain.

Sedangkan, tambahnya, hasil negeri itu ketika ini sendiri pun tidak mencukupi dan memerlukan dana petroleum untuk memenuhi keperluan operasi kerajaan.

“Sebelum ini kita kerap mengeluh bila mana hasil minyak Terengganu dibahagikan kepada negeri-negeri lain. Tetapi hasil petroleum ini adalah diluar kawalan kita atas sekatan undang-undang Persekutuan. Jadi mengapa pula hasil nadir bumi yang tiada sekatan undang-undang ini boleh pula kita agih kepada negeri lain?” demikian seperti dipetik menerusi laman Facebook itu.

Tambahnya, pembahagian sama rata hasil kekayaan negeri juga tidak adil untuk negeri-negeri besar dengan mengambil contoh bajet Terengganu adalah lebih enam kali ganda berbanding Perlis.

Maka, ujarnya, negeri Terengganu sudah semestinya memerlukan lebih banyak hasil berbanding Perlis.

Dalam masa sama, pengendali Facebook itu turut mempersoalkan bagaimana sekiranya ada negeri dalam SG4 dirampas parti yang tidak sama dengan kerajaan Terengganu kelak.

“Adakah ketika itu syarikat ini akan dibatalkan? Berapa banyak pula pampasan ketika itu yang perlu negeri kita tanggung?

“Justeru admin mohon untuk perhalusi kembali cadangan Tun Mahathir. Admin setuju kepakaran perlu dikongsi, tetapi hasil negeri biarlah kekal dinikmati oleh rakyat negeri masing-masing,” tulisnya.

Penubuhan SG4 Group diumumkan secara rasmi semalam ketika Sidang Kemuncak Empat Kerajaan Negeri (SG4) dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai Ketua Panel Penasihat SG4.

Bercakap kepada pemberita semalam, Dr. Mahathir berkata, entiti korporat itu ditubuhkan dengan setiap empat negeri mempunyai ekuiti masing-masing sebanyak 25 peratus.

Jelas beliau, menerusi syarikat berkenaan, hasil kekayaan empat negeri pembangkang dapat dikongsi dan diagihkan sama rata bagi tujuan pembangunan adil kepada keempat-empat negeri tersebut. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast