Jurulatih pasukan Filipina, Norman Fegidero Jr dan pemain, Jarvey Gayoso hadir pada sidang media Pesta Bola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 3 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Filipina menjanijkan saingan sengit pada pertembungan dengan skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, esok.

Ketua Jurulatih Sementara skuad The Azkals, Norman Fegidero berkata, Malaysia bukannya asing buat Filipina yang pernah bertemu ketika Kim Pan Gon menjadi ketua jurulatih.

Rekod pertemuan pasukannya yang tidak tewas kepada Malaysia dalam dua perlawanan terakhir sebelum ini dianggap satu kelebihan, ujarnya.

Malah jelas beliau, ramai pemainnya beraksi dalam liga di pelbagai negara Asia yang mana ia merupakan satu kelebihan kepada Filipina memberi persembahan terbaik.

“Kami juga sudah melihat beberapa video permainan skuad Harimau Malaya sejak dua minggu terakhir ini selepas mengesahkan penyertaan kami dalam Pestabola Merdeka kali ini dan sudah pasti tidak boleh pandang rendah kekuatan mereka.

“Apapun, kami akan memberikan saingan kepada Malaysia sebab kami datang sini dengan misi mahu menang kejohanan ini,” katanya pada sidang media pra perlawanan Pestabola Merdeka, di sini, hari ini.

Menurut Fegidero, antara permain yang perlu diberi perhatian ialah Safawi Rasid yang dilihat mampu mendatangkan masalah kepada pasukannya.

Katanya, Filipina yang kali terakhir menyertai Pestabola Merdeka pada 1972 akan menjadikan kejohanan itu sebagai sebagai persiapan ke Piala AFF Mitsubishi 2024 yang bermula November ini. – MalaysiaGazette